Oleh: Armin Baniaz Pahamin

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Reciprocal Trade Agreement) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 wajar dipersoalkan dari sudut kepentingan nasional, rasionaliti ekonomi, dan keseimbangan strategik serantau.
Penurunan tarif timbal balas terhadap barangan Malaysia daripada 25% kepada 19% atau pengurangan sebanyak RM6% hanya memberi penjimatan sekitar RM11.9 bilion setahun berdasarkan nilai eksport semasa (RM 198.65 bilion × 6 %).
Menurut Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), jumlah dagangan dua hala Malaysia–AS bagi tahun 2024 mencecah RM 324.91 bilion, dengan nilai eksport Malaysia ke AS sebanyak RM 198.65 bilion, menjadikan Amerika Syarikat rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.
Jumlah penjimatan ini adalah terlalu kecil untuk diberi komitmen dagangan gergasi dengan jumlah hampir RM1 Trilion yang kita perlu tanggung.
Antara kandungan perjanjian yang diumumkan ialah komitmen pembelian sehingga 30 pesawat Boeng dengan opsyen tambahan 30 unit, pembelian gas asli cecair (LNG) bernilai USD 3.4 bilion setahun, serta pelaburan besar dalam sektor semikonduktor, pusat data dan komponen aeroangkasa bernilai lebih USD 150 bilion.
Adakah Malaysia mampu menanggung beban kewangan sebesar itu ketika Malaysia Aviation Group (MAG) sendiri masih mencatat kerugian dan belum pulih sepenuhnya selepas penstrukturan semula?
Dari mana sumber dana pembelian ini akan datang kalau bukan daripada suntikan kerajaan menggunakan wang rakyat?
Sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) dunia, adakah logik untuk Malaysia membeli gas asli cecair (LNG) bernilai RM16bilion setahun (USD3.4 bilion)? Malaysia merupakan pengeksport LNG ke 5 terbesar di dunia.
Perjanjian seperti ini tidak menggambarkan strategi ekonomi berasaskan daya saing, tetapi lebih menyerupai perangkap ekonomi yang memihak kepada kuasa besar.
Komitmen pembelian gergasi yang mengalirkan keluar rizab negara tidak memberi manfaat kepada industri tempatan.
Perjanjian ini juga mengehadkan ruang Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang strategik seperti dengan negara China atau mana-mana negara yang banyak menawarkan kerjasama tanpa tarif tinggi dan dengan nilai tambah lebih besar kepada sektor tempatan.
Malaysia bukan sahaja menanggung kos ekonomi, tetapi juga kehilangan kebebasan membuat dasar perdagangan yang berdaulat untuk memenuhi tekanan perjanjian bilateral,
Daripada dijerut leher dengan komitmen dagangan bernilai hampir RM1 trilion, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepatutnya mengambil peluang kepimpinan ini untuk memimpin rundingan secara konsensus bersama negara-negara ASEAN lain.
Adalah wajar bagi Malaysia untuk menyemak kembali kandungan perjanjian ini dan membahaskannya di Parlimen, supaya setiap komitmen dagangan yang dibuat tidak memudaratkan ekonomi negara dan kekal selaras dengan kepentingan nasional.
Dr Armin Baniaz Pahamin, Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.