Bersatu Akan Tenggelam Jika Krisis Berterusan — Penganalisis

KUALA LUMPUR, 30 Okt 2025 — Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mantan Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, memberi amaran bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal tenggelam dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kemelut dalaman kepimpinannya tidak diselesaikan dengan berhemah dan tanpa sengketa.

Beliau menegaskan bahawa Bersatu kini berdepan saat genting apabila perpecahan dalaman semakin jelas, terutama jika benar wujud pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan masa depan parti.

“Jika benar ada pertemuan antara TSMY dan Tun M, persoalannya, kenapa perlu nasihat orang luar untuk selesaikan kemelut dalaman parti? Masalah parti perlu diselesaikan oleh ahli sendiri, bukan pihak ketiga,” katanya.

Menurut Prof Fauzi, tindakan melibatkan individu luar parti untuk menentukan hala tuju kepimpinan hanya akan memburukkan keadaan, terutamanya apabila ada pihak dalam parti mempunyai kuasa veto atau autonomi untuk menyingkirkan pihak lain.

Beliau turut menyifatkan langkah menggantung atau memecat ahli secara sewenang-wenangnya sebagai tindakan yang merugikan dan tidak demokratik, menambah bahawa pendekatan sedemikian boleh menjunamkan Bersatu ke lembah kehancuran.

“Parti Bersatu bukan kuat mana pun, baru masuk penggal kedua dalam politik nasional. Kalau berpecah, tiada siapa untung. Jangan menang jadi arang, kalah jadi abu,” tegasnya.

Sebagai jalan keluar, Prof Fauzi mencadangkan agar Bersatu mengadakan satu konvensyen khas yang menghimpunkan semua kepimpinan dan ahli untuk mencari resolusi dan titik damai.

“Jika benar mahu Bersatu kembali aman dan penuh toleransi, buatlah konvensyen bagi mencari resolusi serta memantapkan parti. Hindari budaya cantas-mencantas yang hanya melemahkan,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa sekiranya krisis ini berterusan, PAS sebagai sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) juga berpotensi hilang keyakinan terhadap Bersatu, malah berkemungkinan mengambil alih banyak kerusi yang kini disandang Bersatu pada PRU akan datang.

“Pihak lawan di luar parti hanya menunggu dan melihat siapa yang bakal terbenam. Jika Bersatu gagal mencari penyelesaian, parti ini tidak lagi bernilai dalam PN,” katanya memberi amaran.

Menurutnya lagi, dalam politik, pesaing dalaman perlu dianggap seperti lawan dalam sukan — bertembung ketika pertandingan tetapi kembali bersatu selepas pemilihan, bukannya dianggap sebagai musuh yang perlu dihapuskan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share