
KUALA LUMPUR, 6 NOV 25 — Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali, menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sebagai tanda jelas bahawa proses peralihan kuasa dalam parti itu sedang berjalan secara tersusun, namun tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
Menurutnya, kenyataan Hamzah yang menggambarkan dirinya sebagai “pelari kedua yang menunggu baton” menunjukkan beliau sudah bersedia mengambil alih kepimpinan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila tiba masanya.
“Kenyataan Datuk Seri Hamzah sangat berhikmah dan tertib. Beliau tidak mendesak Muhyiddin untuk segera berundur, tetapi memberi isyarat bahawa beliau sudah bersedia memimpin bila-bila masa,” kata Dr Mazlan.
Katanya lagi, pendekatan berhemah Hamzah ini menunjukkan kesetiaan terhadap pimpinan parti, namun pada masa yang sama mencerminkan kesedaran terhadap realiti politik semasa dan keperluan memperkukuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRU16.
“Lebih 120 ketua bahagian dan hampir 20 Ahli Parlimen PN dikatakan menyokong Hamzah. Namun beliau kekal tenang, tidak gelojoh dan menghormati presiden parti. Itu tanda kepimpinan matang,” ujarnya.
Dr Mazlan menegaskan bahawa peralihan kuasa dalam Bersatu tidak boleh berlarutan terlalu lama kerana parti perlu menunjukkan hala tuju yang jelas bagi memastikan kelangsungan dalam politik arus perdana.
“Bersatu tidak boleh terlalu lama berada dalam fasa tunggu dan lihat. Jika perubahan ini dilakukan dengan tertib, Muhyiddin akan dikenang sebagai pemimpin yang berundur dengan terhormat, manakala Hamzah tampil sebagai penerus legasi baharu,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Hamzah membawa mesej tersirat bahawa gelombang peralihan dalam Bersatu kini sudah bermula — dan kepimpinan baharu diperlukan bagi memastikan parti kekal relevan serta bersedia menghadapi PRU akan datang.
“Hamzah sudah bersedia. Kini terpulang kepada Muhyiddin untuk menentukan bila baton itu mahu diserahkan,” kata Dr Mazlan menutup ulasan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.