
KUALA LUMPUR, 2 NOV 25 — Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap mementingkan diri membenarkan polemik berlaku dalam Bersatu sehingga mengakibatkan parti berpecah, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang itu berkata Muhyiddin juga bersikap seperti tidak sedar diri membiarkan pemimpin tertentu memporak-porandakan Bersatu.
“Minta maaf cakap ini saya kata presiden tidak sedar diri yang hanya mahu jaga kepentingan diri.
“Agenda nak angkat poster boy adalah agenda Muhyiddin sendiri. Dia beri ‘green light’ buat gerakan ini,” katanya, ketika siri jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di Ampang, pagi tadi.
Beliau juga yakin sekiranya Muhyiddin digantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden, enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah akan kembali semula menyokong parti.
“Enam ahli Parlimen yang lari ini kalau Hamzah jadi presiden mereka akan datang balik bersama kita.
“Masalah yang ada adalah Muhyiddin. Bila saya fikir balik, kumpulan yang lain-lain ini memang menjilat tapi keputusan akhir datangnya dari presiden,” katanya.
Sehubungan itu katanya, gerakan pimpinan ketua bahagian dan akar umbi yang dikenakan tindakan disiplin adalah usaha mengembalikan landasan perjuangan Bersatu.
“Kita kena betulkan. Selamatkan parti dan pastikan Muhyiddin undur secara terhormat.”
Wan Ahmad Fayhsal dikenakan tindakan disiplin digantung keahlian selama sepenggal manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Bersatu Bangi dipecat keahlian dari Bersatu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.