Wawancara Datuk Wan Saiful – Perjuangan Bersatu, Idealismenya Kekal

BUDAYA CULTURE OF FEAR BERLELUASA

MM: Boleh Datuk ulas mengenai dakwaan wujud Culture of Fear dalam Bersatu?

Culture of Fear (budaya ketakutan) ini sudah lama dan sudah lebih dari setahun cuba diwujudkan dalam Bersatu, untuk membuatkan supaya ahli-ahli termasuk juga pemimpin di peringkat akar umbi diam.

Jadi, itu niatnya dan sekarang berleluasa budaya ini. Yang mana membawa kepada yang terbaharu, Pekeliling dikeluarkan Setiausaha Agung, yang saya rasa agak ganjillah.

Tidak dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dulu, tetapi dikeluarkan.

Kandungannya menyatakan kalau ahli jumpa dengan orang yang kena tindakan disiplin, maka itu juga adalah kesalahan disiplin.

Di peringkat akar umbi dan ahli jawatankuasa bahagian, ‘budaya ketakutan’ itu sedang disebarkan dan yang mendapat manfaat ialah mereka yang pegang kuasa. Ini satu perkara yang tidak sihat untuk Bersatu.

MM: Setakat ini bagaimana proses rayuan dibuat kepada Lembaga Rayuan?

Saya sudah hantar rayuan kepada Lembaga Rayuan dan Pengerusi Lembaga Rayuan, Datuk Seri Zulkifli Nordin telah menerima surat itu.

Dalam surat saya maklum ada sedikit isu. Yang mana keahlian dalam Lembaga Rayuan itu tidak cukup untuk membentuk satu korum.

Jadi, dalam perlembagaan Bersatu, Lembaga Rayuan boleh terdiri daripada maksimum lima orang. Tetapi untuk menjadi satu panel cukup korum mestilah sekurang-kurangnya tiga orang. Yang ada sekarang hanya seorang (pengerusi). Jadi, itu menyebabkan proses rayuan ini saya rasa tergantung.

Maka, proses rayuan itu akan diteruskan. Cuma saya rasa MPT kena bermesyuarat, pincang sangat Bersatu kalau sekiranya Lembaga Rayuan pun tidak ada.

Kalau tahu Lembaga Rayuan tidak ada, kenapa buat Lembaga Disiplin? Kenapa panggil kami ke Lembaga Disiplin?

Sebab, apabila Lembaga Disiplin mengumumkan pemecatan saya, ini menyebabkan pengumuman itu akan tergantung sehinggalah Lembaga Rayuan boleh bermesyuarat.

Jadi, ada delay (kelewatan) dalam proses untuk mendapatkan keadilan. Ini bagi saya adalah satu tindakan yang disengajakan.

Apabila diumumkan pemecatan, tapi rayuan tidak boleh diproses, maka kita tidak tahu berapa lama prosesnya akan ambil masa.

SIAPA DALANG?

MM: Datuk boleh kongsi ketika dipanggil Lembaga Disiplin, apa penjelasan yang diberikan sehingga mereka tetap buat keputusan untuk pecat?

Proses yang dijalankan Lembaga Disiplin Bersatu tidak berintegriti. Sebabnya, dalam prosiding saya lebih kurang 40 minit, rasa 10 hingga 15 minit yang pertama adalah mengenai bantahan saya terhadap dua daripada empat ahli panel yang ada kerana wujud konflik kepentingan.

Jadi, apabila saya bantah mereka bertegas untuk duduk juga dalam panel itu. Itu 10 hingga 15 minit pertama. Tidak ada penyelesaian.

Apa yang berlaku adalah dia terus tanya saya soalan-soalan lain. Siapa ketua di belakang pergerakan yang kita buat? Siapa yang bagi arahan? Siapa dalang sebenar?

Yang menariknya, dia tanya apa peranan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam semua ini?

Saya jawab yang dibicarakan saya, yang dituduh saya, sebab apa hendak bawa nama orang lain?

Seolah-olah Lembaga Disiplin itu sebenarnya mencari sebab untuk mengambil tindakan kepada Hamzah dan kami ini adalah collateral sahaja. Untuk bantu dia dapatkan bukti terhadap Hamzah.

AKUAN BERSUMPAH

MM: Boleh ulas mengenai 120 akuan bersumpah (SD) yang dikumpul itu yang dikatakan bukan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan, sebaliknya untuk tidak membincangkan calon Perdana Menteri?

Ya. Calon Perdana Menteri ataupun mengenai siapa mahu jadi Presiden ke sebagainya, kita kata jangan bincang. Perhimpunan Bersatu ini, dua tahun sebelum ini, dua-dua berbincang mengenai Tan Sri hendak kekal sebagai Presiden. Takkan sampai tiga tahun berturut-turut kita hendak buat begitu.

Tetapi dalam SD itu, kita kata bahawa kalau Tan Sri ada niat mahu bersara sekalipun, kami akan akur. Tak apa. Walaupun kita tidak mahu dia bersara lagi, tapi kalau dia mahu juga, kita akan pastikan legasi beliau terjaga.

Tapi kalau beliau hendak bersara, kita kata fikir baik-baik dan umumkan awal supaya ada persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tetapi kita minta dalam SD itu supaya Tan Sri kekal sebagai wajah di hadapan, poster boy untuk parti. Bukannya tidak ada terus.

Dan kita kata juga kalau beliau hendak bersara, maka beliau hanya bersara sebagai Presiden tapi tolonglah, jadilah pengerusi atau penasihat parti, sebab beliau ada kekuatan juga. Digabung dengan semua orang lain, parti akan jadi lebih kuat.

Jadi, ada klausa yang mengatakan kalau sekiranya hendak juga untuk bincang perkara tu, bincang di belakang, jangan bincang dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

Tapi perenggan kedua yang difokuskan oleh satu pihak lagi dalam Bersatu ini yang hendak memecah-belahkan parti, sehingga kesimpulan kita dalam perenggan ketiga diketepikan.

MM: Adakah dalam SD itu ada menekankan supaya peralihan berlaku, dipercepatkan atau bagaimana?

Tidak, kita kata kalau Tan Sri hendak juga bersara. Kalau boleh, janganlah bincang hendak bersara atau tidak.

Tetapi kalau mahu juga, tidak apa kita akur. Cuma janganlah bincang dalam PAT, buat pada masa lain. PAT ini jadi medan untuk cakap dasar dan polisi yang kita hendak tawarkan, itu yang kita minta.

Tetapi naratif itu dengan begitu bersungguh-sungguhnya diterbalikkan, bahawa kita minta disegerakan (berundur). Sedangkan itu bukan niat kita.

Tetapi apa yang berlaku selepas PAT sehingga hari ini menunjukkan sebenarnya bukan sahaja Tan Sri dipengaruhi oleh beberapa individu yang ada kepentingan masing-masing tetapi banyak kesilapan dalam pertimbangannya.

Kita tidak nafikan jasa beliau, pengalaman beliau. Tapi semua orang ada expiry time, ada tempoh luputnya.

Sebelum PAT tidak ada perbincangan mengenai mempercepatkan pertukaran, sekarang dalam parti, sudah beberapa bahagian, berbelas sebenarnya yang mengatakan bahawa pertukaran perlu diadakan sekarang.

Sebab, kita nampak bahawa ada kekurangan dalam kebolehan Tan Sri untuk mentadbir parti masa sekarang.

TARIKH LUPUT DAN SIAPA PENGGANTI

MM: Datuk kata, setiap orang ada tempoh luputnya, jadi pada pandangan Datuk, sekiranya Presiden parti perlu berundur, siapa yang boleh menggantikan?

Pertama sekali, kita kena ambil pandangan bahawa jangan nafikan jasa Tan Sri.

Saya memang tidak suka betul apabila orang kata Tan Sri ini tiada jasa kepada parti, itu semua salah.

Tan Sri Muhyiddin ada banyak jasa kepada parti, kepada negara dan bangsa. Dan itu perlu diiktiraf, diraikan, dan perlu dikekalkan dalam catatan sejarah.

Apabila Tan Sri Muhyiddin sendiri menamakan Hamzah sebagai timbalan, maksudnya beliau sudah tahu bahawa apa-apa jadi kepadanya, kalau beliau melepaskan jawatan, penggantinya ialah Hamzah. Dan kita akur kepada keputusan itu. Tidak ada siapa-siapa bantah pun keputusan sebab itu dibuat tahun lepas.

Jadi, bagi saya, tidak timbul isu siapa hendak ganti sebab ikut peraturan yang ada dalam parti.

DUA SEBAB PERGOLAKAN BERSATU

MM: Jadi, adakah pergolakan yang berlaku dalam Bersatu sekarang ni disebabkan Datuk Seri Hamzah itu sebagai timbalan presiden dan ada orang yang tidak berpuas hati?

Saya rasa pergolakan yang berlaku ini ada dua sebab. Satu, Tan Sri tidak menyedari ataupun tidak boleh menerima hakikat sudah sampai masanya untuk dilepaskan tanggungjawab kepimpinan kepada orang yang beliau sendiri telah pilih sebelum ini.

Yang kedua, ada beberapa individu yang talian hayatnya bergantung kepada adanya Tan Sri, sebab Tan Sri yang lantik mereka.

Jadi, kalau perasan sekarang ini, apabila berlaku pergolakan dalam parti, yang cakap banyaknya yang mempertahankan Tan Sri ialah mereka yang dilantik.

Mereka yang dipilih duduk diam. Yang ada mandat daripada ahli, yang dipilih dalam proses pemilihan parti, diam sebab kita sayang parti sebenarnya, termasuklah saya.

Tapi mereka yang bergantung kepada lantikan ini mempengaruhi Tan Sri dengan ayat-ayat yang mengatakan hanya Tan Sri seoranglah yang boleh menyelamatkan parti dan negara. Malangnya, Tan Sri terbeli dengan ayat-ayat manis seperti ini.

Budaya puja pemimpin ini tidak pernah wujud dalam Bersatu. Kita kena ingat, bila Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar Bersatu, kita tidak ikut keluar pun. Mahathir pemimpin besar. Sehingga hari ini kita hormati.

Walaupun beliau keluar daripada parti akibat kesalahan disiplin, tidak ada sesiapa mengeluarkan Pekeliling menyatakan dilarang jumpa Tun Mahathir.

Sebab kita hormat kepada beliau. Tapi bila beliau tinggalkan parti, maka parti kekal sebagai entiti yang kuat, memperjuangkan nasib rakyat.

Saya yakin dengan Tan Sri Muhyiddin pun sama. Sekiranya berjiwa besar seperti Mahathir, beliau akan tinggalkan parti ini sebagai parti yang boleh membina legasinya dan kemudian bawa perkara yang lebih baik daripada apa dia boleh buat sekarang.

MM: Dengan kenyataan terhadap parti yang dibuat selepas dipecat, ada yang cadangan tindakan undang-undang terhadap Datuk?

Setakat ini tidak ada (kenyataan) berbentuk penipuan yang dibuat saya atau Wan Ahmad Fayhsal, jadi kita tidak takut dengan perkara itu.

Pas sebelum ini sudah kata jangan bincang isu calon PM secara terbuka, ada surat daripada Pas dialamatkan kepada presiden parti, bertarikh 14 Disember 2024, perenggan ke-empat menyatakan mengenai calon PM dan Menteri Besar.

 “Bagi mengekalkan keharmonian dan mengelakkan polemik dalam jentera, penyokong parti, adalah disarankan kenyataan berkenaan calon PM dan Menteri Besar dari Perikatan Nasional (PN) tidak dibangkitkan secara terbuka, malah seeloknya hanya diputuskan serta dihebahkan setelah dirundingkan serta dipersetujui semua parti anggota”._

Ini bukti bertulis bahawa kita bercakap perkara yang benar.

Yang Bersatu buat, bawa usul menamakan calon PM, bukan sahaja tidak menghormati pandangan Pas sebagai rakan komponen terbesar dalam PN malah MPT, yang mana tidak disebut langsung dalam mesyuarat MPT bahawa itu usul yang hendak dibawa.

Daripada segi prosesnya salah, daripada segi adab kita dalam parti komponen pun salah.

Jadi, saya tidak bimbang mengenai ugutan, atau tindakan (undang-undang), ini sekali lagi budaya culture of fear, kita ada bukti sebenar, kenapa kita hendak takut?

TIDAK TIMBUL ISU SERTAI PARTI LAIN

MM: Jika rayuan terus tergantung, apa perancangan seterusnya, sertai Pas?

Parti Bersatu bawa agenda agama, bangsa dan negara. Dengan hakikat itu tidak sepatutnya wujud pandangan bahawa kita patut keluar daripada parti, kalau kita berpegang dengan prinsip perjuangan, daripada luar pun kita boleh sokong.

Jadi, bagi saya tidak timbul isu untuk sertai parti lain, keutamaan saya adalah untuk memastikan Bersatu ini dikembalikan kepada agenda perjuangan oleh ahli parti.

Kebimbangan paling besar apabila Bersatu ditunggang oleh orang yang ada kepentingan.

BERSATU BELUM TERUK

MM: Dalam kemelut ini, adakah sebarang reaksi diberikan Timbalan Presiden parti kepada Datuk?

Datuk Seri Hamzah daripada awal tidak terlibat. Saya terkejut apabila ada kata dia dalang daripada mula.

Bila masanya saya bincang dengan Hamzah, sebab masa dia mula dengar mengenai kutipan tanda tangan itu, dia panggil saya, dan dia marah, soal kenapa hendak kumpul tanda tangan?

Sebenarnya, ada usaha tersusun dalam Bersatu untuk mencantas Datuk Seri Hamzah, ini kita boleh nampak berlaku dengan jelas.

MM: Bagaimana Datuk melihat perjuangan Bersatu pada ketika ini?*

Kita kena tengok gambaran lebih besar, tidak boleh kita lihat hanya dalam dua minggu (untuk buat kesimpulan) Bersatu sudah rosak teruk, ini baru dua minggu jadi panas dan sedikit kacau bilau dalam parti.

Apabila selesai nanti, parti akan kembali kepada landasan asal perjuangan.

Perjuangan Bersatu, idealismenya kekal, yang sedang berlaku perdebatan dalaman yang agak panas dan agak kasar apabila ada pihak mempergunakan kuasa dan kedudukan mereka.

MM: Kata hati Datuk sendiri bagaimana, mahu terus kekal bersama perjuangan Bersatu?

Saya masih kekal menyokong idealisme dibawa Bersatu. Perjuangan yang baik untuk agama, bangsa dan negara.

Sebab itu, tidak timbul dalam diri saya untuk cari parti lain, atau bertanding bebas ke, sebenarnya isu bertanding atau tidak tak penting, isu pegang jawatan atau tidak, tidak penting.

Isu paling penting adalah apa yang kita perjuangkan. Kena tanam dalam diri, masuk politik untuk bawa agenda perjuangan, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Wawancara ini telah disirkan di Mingguan Malaysia pada 2 Nov 2025. Wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Fitri Nizam Dan Irwan Shafrizan Ismail Serta Dibantu Jurufoto Mohd. Fauzi Baharudin Dan Juruvideo Muhammad Faris Md. Ideris.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share