BERSATU Paksa Hadir Majlis Iftar?
Bandingkan pula dengan program Azmin Ali. Yang paling menonjol hanyalah Ketua-ketua Bahagian Penaja yang baru hendak menerima watikah bersama penyokongnya. Itupun ramai dalam kalangan mereka sebenarnya bekas ahli parti yang sudah keluar dan melompat ke parti lain, termasuk ke Parti Bangsa Malaysia.
Malah ada juga lantikan dibuat dari kalangan bukan Ahli Jawatankuasa Bahagian; ini bermakna mereka tidak langsung mempunyai pengalaman dalam urusan urustadbir dan pengalaman mengendalikan bahagian.
Dilaporkan oleh sumber dalaman Bersatu, mengikut butiran di aplikasi WhatsApp, setiap bahagian diberikan kuota 50 ahli untuk hadir. Ternyata Majlis Iftar tersebut bukan tertakluk untuk Bersatu Negeri Selangor sahaja.
Tetapi, kerahan kehadiran telah diarahkan kepada setiap bahagian. Manakala berdasarkan Surat SUA bertarikh 4 Mac, secara terang menyatakan bahawa bahagian-bahagian di seluruh Malaysia wajar terlibat dan hendaklah membawa 10 orang setiap bahagian.
Maka, jelas membuktikan Majlis Iftar Bersatu para hadirin dikerah datang mengikut kuota dari bahagian di seluruh Malaysia. Manakala Majlis Iftar Dato’ Seri Hamzah Zainudin pula adalah jemputan tertutup secara peribadi dan diedarkan secara ‘Google Form’ untuk diisi oleh pimpinan yang akrab bersahabat dengan beliau.
Memetik ucapan sinis Azmin Ali, “Lautan merah di Majlis Iftar, Bersatu bebas dari penyakit dalaman” Ini boleh ditafsirkan sebagai kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah dikenakan tindakan disiplin dan Bersatu kini sudah bebas kuman kerana telah disterilkan.
Benarkah begitu atau Azmin ternyata ego enggan mengakui kelemahan dan cuba menutup kegagalan? Mengikut sumber dalaman parti, masih ramai penyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin berbaki dalam Bersatu.
Secara tidak langsung, Hamzah telah meninggalkan legasi ahli-ahli akar umbi yang masih setia – membuktikan, kekuasaan Hamzah ‘secara senyap’ masih signifikan dan ini benar-benar menyulitkan Bersatu. Tamparan maut akan menimpa kelompok kepimpinan Azmin jika proses pemecatan berterusan.
Bersatu bakal kehilangan lebih ramai AJK dan ahli akar umbi di peringkat bahagian dan cawangan. Bersatu akan pincang dan ‘simpang-perenang’. Justeru, tidak hairanlah jika Lembaga Disiplin Bersatu mendapat isyarat menukar taktik, di mana Ronald Kiandee dan Mas Ermieyanti sekadar digantung keahlian sahaja.
Tambahan, kebanyakan bahagian dan cawangan Bersatu memang gersang dan lemah dari segi jumlah ahli dan strategi jentera parti. Bukan sedikit ahli-ahli akar umbi yang masih setia kepada Dato’ Seri Hamzah Zainudin. Mereka hanya menunggu waktu dan ketika, melihat perkembangan Hamzah menubuhkan parti baharu.
Dalam ucapan Azmin, beliau turut menyentuh kononnya kira-kira 700,000 ahli parti merupakan penyokong kuat presiden Bersatu. Tetapi angka ini dipertikaikan oleh Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (CheguBard). Beliau berkata angka tersebut tidak wajar digunakan secara mudah kerana realiti kekuatan sokongan di peringkat bahagian mungkin jauh lebih kecil.
Mengulas lanjut, beliau membuat perkiraan – jika angka 700,000 ahli itu dibahagikan kepada 202 bahagian, jumlah purata hanyalah sekitar 3,456 ahli bagi setiap bahagian. Jika diambil kira hanya kira-kira 10 peratus ahli yang benar-benar aktif, jumlah penyokong aktif di setiap bahagian dianggarkan sekitar 345 orang sahaja.
“Angka ini jangan main petik dan tipu diri sendiri. Bila kita lemah, kita kena akui dan tangani masalah, bukan lena dibuai mimpi,” katanya lagi.
Kepimpinan Baharu Bahagian– Lantikan ‘Tangkap Muat’ Langgar Perlembagaan dan Agenda PKR 2.0?
Usaha kelompok kepimpinan Azmin, Radzi Jidin dan Tun Faisal melakukan ‘damage control’ menimbulkan pelbagai persoalan.
Bagaimana seseorang yang sudah keluar parti dan menjadi pengkhianat boleh pula menerima watikah lantikan sebagai Ketua Bahagian Penaja? Adakah ini politik prinsip, atau sekadar politik “siapa sanggup ikut, dia dapat jawatan”? Perlu dipersoalkan juga, adakah langkah begini patuh Perlembagaan Parti Bersatu?
Ironinya, mereka yang dahulunya lantang bercakap tentang kesetiaan kepada parti kini dilihat membuka pintu kepada mereka yang pernah meninggalkan perjuangan. Akhirnya, yang diraikan bukan lagi pejuang setia, tetapi ‘katak politik’ yang bermain dua kolam tempat berendam. Jelaslah, mereka ini adalah oportunis politik ‘tangkap muat’, sekadar menjadi ‘koyok’ penampal luka.
Oleh; Ramlee Wahab, Sri Gading, Batu Pahat, Johor
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.