
KUALA LUMPUR, 4 NOV 25 — Budaya politik negara yang membenarkan presiden parti bertindak seperti seorang otokrat kembali menjadi perbincangan apabila Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan amalan tersebut dalam podcast kendaliannya semalam, yang menampilkan Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai tetamu.
Dalam sesi itu, Zaid mengutarakan persoalan mengenai kedudukan presiden parti yang dilihat terlalu berkuasa hingga mampu menyingkir sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.
“Budaya politik kita yang disokong oleh undang-undang sendiri menjadikan seorang presiden parti otokrat. Dia buat apa macam seolah-olah dia punya parti. Parti bukan lagi wadah atau wawasan untuk semua. Dalam konteks ini, apa yang akan anda lakukan? Anda tidak boleh menghapusnya, tetapi dia boleh menghapus anda,” soal Zaid.
Menjawab pertanyaan itu, Saifuddin menegaskan bahawa dalam sistem parti, suara ahli tetap menjadi penentu utama. Menurutnya, perlembagaan parti menyediakan mekanisme untuk ahli membuat perubahan, termasuk melalui persidangan khas.
“Yang penting ialah kita bersuara. Akhirnya ahli akan menentukan… ada satu, dua atau mungkin tiga kaedah dalam perlembagaan termasuk mengadakan persidangan khas. Saya tak kata saya nak buat hari ini, tetapi itu antaranya,” jelasnya.
Tambah beliau, tekanan daripada ahli dan rakyat merupakan faktor penting yang akhirnya akan menentukan nasib kepimpinan parti.
“Pressure itu penting… akhirnya ahli dan rakyat akan menentukan,” kata Saifuddin.
Perbincangan antara kedua-dua tokoh itu dilihat mencerminkan kegelisahan terhadap budaya politik semasa yang semakin menebalkan kuasa individu dalam parti, berbanding semangat kolektif yang sepatutnya menjadi asas perjuangan politik. @politikomy
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.