PAS Nafi Tidak Istiqamah, Tegas Langkah Politik Berpaksikan Prinsip Islam

Foto – facebook Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR, 24 NOV 25 — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak tuduhan bahawa parti itu tidak istiqamah dalam pendiriannya, khususnya apabila ia mengubah kerjasama politik atau menarik diri daripada gabungan tertentu.

Dalam penjelasan terbaharu oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, parti itu menegaskan bahawa setiap keputusan politik yang diambil adalah berasaskan prinsip Islam yang menjadi rujukan tertinggi parti, dan bukannya semata-mata strategi jangka pendek.

Menurut PAS, tindakan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini yang menyaksikan pemisahan dengan PKR dan DAPbukanlah satu bentuk mungkir janji seperti yang didakwa. Sebaliknya, keputusan itu dibuat setelah berlaku perbezaan prinsip yang dianggap mustahil untuk dipertahankan dalam satu gabungan.

Pasca perpecahan itu, sebahagian anggota yang tidak bersetuju telah meninggalkan parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN), sebelum terus menyertai gabungan baharu yang menjadi Pakatan Harapan (PH). Presiden PAS berpendapat tindakan tersebut dilihat oleh sesetengah pihak sebagai “kesetiaan” kepada pakatan, namun bagi PAS, kesetiaan utama ialah kepada prinsip Islam yang menjadi asas perjuangan mereka.

PAS menegaskan bahawa al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias merupakan rujukan utama dalam membuat keputusan, selaras dengan perlembagaan parti. Presiden PAS turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 105:

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa-apa yang telah Allah wahyukan kepadamu…”

Presiden PAS menjelaskan bahawa apabila tiada ketetapan wahyu, keputusan dibuat berdasarkan hikmah serta panduan syura, iaitu mesyuarat bersama para pemimpin sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW dengan izin Allah.

PAS menegaskan, istiqamah mereka adalah kepada prinsip Islam, dan apa juga perubahan politik yang berlaku adalah hasil keperluan mengekalkan dasar perjuangan tersebut, bukan sekadar permainan kuasa atau percaturan kepartian. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share