
KUALA LUMPUR | 13 Jan 26 — Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa mengambil iktibar daripada langkah tegas Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu penternakan babi, khususnya bagi menyelesaikan masalah ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang didakwa berlarutan sejak berdekad lamanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, masalah pencemaran bau dan sungai akibat operasi ladang babi di kawasan itu masih gagal ditangani secara serius walaupun rungutan penduduk telah lama disuarakan.
Menurut beliau, kesan pencemaran bukan sahaja dirasai penduduk Kampung Selamat, malah merebak ke kawasan sekitar, termasuk Bertam, sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat.
“Isu ini bukan perkara kecil. Bau busuk daripada ladang babi itu kadang-kadang boleh dikesan sehingga ke kawasan kediaman saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful turut mengaitkan isu tersebut dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengusulkan agar wakil rakyat sendiri tinggal bersebelahan kawasan penternakan babi bagi memahami penderitaan rakyat yang terkesan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar tidak sekadar turun melawat, sebaliknya merasai sendiri kehidupan berhampiran ladang babi di Kampung Selamat, dan tidak membuat dasar dari “keselesaan pejabat di Georgetown”.
Wan Saiful berkata, beliau telah berulang kali membangkitkan isu berkenaan di Parlimen, mengadakan pertemuan dengan penduduk terjejas serta berdialog dengan penternak bagi mendesak pencemaran dihentikan segera.
“Malah setakat yang saya tahu, dalam sejarah Parlimen Tasek Gelugor, saya satu-satunya Ahli Parlimen yang sanggup masuk sendiri ke dalam kandang babi untuk melihat keadaan sebenar,” katanya.
Namun begitu, beliau mempersoalkan keberkesanan semua usaha tersebut sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus dilihat “lembik” dan tidak menunjukkan kesungguhan politik untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Wan Saiful turut membangkitkan persoalan sama ada kepentingan industri penternakan babi diletakkan lebih tinggi berbanding kesejahteraan penduduk sekitar yang majoritinya Melayu Muslim dan amat tidak selesa dengan operasi tersebut.
“Oleh itu, buat kesekian kalinya saya menuntut Kerajaan DAP Pulau Pinang menggariskan jadual muktamad pemindahan ladang babi Kampung Selamat,” tegasnya.
Julai tahun lalu, tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif penyakit demam babi Afrika (ASF) berdasarkan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, dua daripada ladang berkenaan dilaporkan mencatat kadar kematian ternakan yang tinggi, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi penularan penyakit tersebut ke ladang-ladang lain yang berhampiran. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.