
KUALA LUMPUR | 7 Mei 26 – Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO semakin lemah kerana didakwa meninggalkan asas perjuangan Islam dan Melayu selepas bekerjasama dalam kerajaan campuran bersama parti lain.
Menerusi tulisan terbaharu bertajuk “UMNO: Rumah Yang Dicabut Paku Lantai”, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai punca kelemahan parti tersebut sehingga menyebabkan kedudukannya semakin goyah.
Menurut beliau, tindakan UMNO bekerjasama dengan parti yang disifatkannya sebagai liberal dan sekular telah melemahkan pegangan parti terhadap dasar asal perjuangannya.
“Apa yang dilakukan sekarang, UMNO sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan UMNO semakin lemah dan kehilangan kekuatan politik Melayu-Islam yang sebelum ini menjadi teras perjuangannya.
“Tindakan ini melemahkan pegangan UMNO kepada dasar perjuangannya laksana mencabut paku lantai Islam dan Melayunya supaya masuk angin dari bawah,” katanya.
Dalam masa sama, Abdul Hadi Awang turut mengimbau sejarah kerjasama PAS dan UMNO selepas merdeka serta menegaskan kedua-dua parti pernah bersama mempertahankan kedudukan Islam dan kepentingan umat Melayu.
Beliau berkata, perbezaan antara PAS dan UMNO sebelum ini hanya melibatkan soal pendekatan dan pentafsiran politik.
“PAS dan UMNO sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dan meletakkan Islam serta umat Islam memimpin kuasa politik,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, PAS pernah berada dalam Kerajaan Campuran pada tahun 1974 ketika era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein walaupun PAS ketika itu berada dalam kedudukan lebih lemah.
Beliau mendakwa alasan bahawa PAS akan “membunuh UMNO” sekiranya bekerjasama selepas PRU15 adalah tidak benar berdasarkan pengalaman kerjasama terdahulu.
Dalam tulisannya itu juga, beliau menggesa UMNO melakukan muhasabah dan kembali kepada asas perjuangan Islam dan Melayu.
“UMNO sepatutnya melakukan muhasabah dan kembali ke pangkal jalan apabila tersalah,” tambah beliau.
Pada 2 Mei lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata kesemua 14 ADUN UMNO negeri itu “sebulat suara” menarik sokongan terhadap Aminuddin dan bersedia menjadi pembangkang negeri jika perlu.
Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO tidak berniat menjadi pembangkang di Negeri Sembilan dan keputusan peringkat pusat menetapkan semua 14 ADUN UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.