Kemelut yang sedang berlaku di Negeri Sembilan pada asalnya bukanlah krisis politik. Ia bermula sebagai isu dalaman institusi diraja melibatkan hubungan dan pertikaian antara pihak Undang dan Yang di-Pertuan Besar dalam kerangka Adat Perpatih yang sekian lama menjadi tunjang sistem pemerintahan negeri itu.
Namun seperti banyak krisis lain dalam negara, keadaan mula berubah apabila politik mula memasuki ruang yang sepatutnya diselesaikan secara adat, tertutup dan penuh hikmah.
Isu yang pada awalnya berada dalam lingkungan Dewan-Dewan Diraja akhirnya melebar menjadi pertikaian terbuka apabila wujud persepsi bahawa kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, mula mengambil pendirian dan dilihat berpihak dalam kemelut tersebut. Di situlah kesilapan politik terbesar berlaku.
Dalam sistem Raja Berperlembagaan, lebih-lebih lagi di Negeri Sembilan yang mempunyai struktur adat tersendiri, pemimpin politik sepatutnya mengambil pendekatan berkecuali dan berhati-hati. Sebarang isyarat keberpihakan boleh ditafsir sebagai campur tangan terhadap sistem diraja.
Apabila Menteri Besar dilihat memasuki gelanggang konflik itu, tekanan politik mula meningkat. UMNO yang pada awalnya dilihat cuba mengelakkan ketegangan akhirnya turut masuk campur bagi mempertahankan kedudukan dan pengaruh politik masing-masing. Daripada isu adat, ia bertukar menjadi percaturan kuasa.
Keadaan menjadi semakin serius apabila UMNO mula menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar.
Namun menariknya, perkembangan mutakhir menunjukkan pendirian itu kini berubah, mereka bukan lagi menolak kerajaan negeri secara keseluruhan, tetapi lebih menjurus kepada penolakan terhadap Menteri Besar secara peribadi.
Ini memberi gambaran bahawa krisis semasa bukan semata-mata soal pentadbiran negeri, tetapi krisis keyakinan terhadap cara kepimpinan politik mengendalikan isu sensitif melibatkan institusi diraja.
Dalam bahasa politik, mesejnya jelas: kerajaan mungkin masih boleh diselamatkan, tetapi kedudukan Menteri Besar semakin sukar dipertahankan.
Jika ketegangan terus berlarutan dan sokongan politik menjadi tidak stabil, Negeri Sembilan berpotensi berdepan pilihan raya negeri mengejut — sesuatu yang sebelum ini tidak dijangka kerana kerajaan negeri masih mempunyai angka sokongan yang relatif selesa.
Tetapi politik sering kali bukan soal angka semata-mata. Ia soal persepsi, hubungan kuasa dan kestabilan dalaman.
Apa yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini menjadi peringatan besar bahawa percaturan politik yang menyentuh institusi diraja adalah langkah yang sangat berisiko. Apabila ahli politik mula dilihat memihak dalam konflik istana, kesannya bukan sahaja terhadap kerajaan negeri, tetapi juga terhadap keharmonian masyarakat dan penghormatan rakyat kepada institusi tradisi negara.
Akhirnya, pihak yang paling rugi bukan sekadar mana-mana parti politik. Yang terjejas ialah kestabilan negeri, keyakinan rakyat dan keharmonian sistem yang selama ini menjadi kekuatan unik Negeri Sembilan. Inilah akibatnya, bila politik masuk campur, yang kacau jadi bilau. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.