
KUALA LUMPUR | 7 Mei 26 — Peguam perlembagaan, Haniff Khatri Abdulla mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Timbang Tara Diraja di bawah Majlis Raja-Raja bagi menangani sebarang pertikaian melibatkan institusi diraja di negara ini.
Beliau berkata, cadangan itu timbul susulan kemelut yang sedang berlaku dalam sistem diraja di Negeri Sembilan yang menurutnya tidak wajar dicampuri pihak politik atau dibawa ke mahkamah biasa.
Menurut Haniff, institusi diraja mempunyai mekanisme, adat dan bidang kuasa tersendiri yang perlu dihormati semua pihak termasuk rakyat dan pemimpin politik.
“Politik tidak boleh mencampuri sistem diraja. Rakyat juga tidak berhak mempersoalkan tadbir urus sistem diraja yang terletak di bawah dewan-dewan diraja masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan video pada Selasa.
Beliau berkata, pertikaian melibatkan institusi diraja lazimnya berada di bawah konsep non-justiciable, iaitu perkara yang tidak sesuai diputuskan mahkamah.
Justeru, katanya, penyelesaian terhadap konflik sedemikian perlu dilakukan dalam lingkungan institusi Raja-Raja Melayu sendiri melalui satu mekanisme khas yang lebih tersusun dan tertutup.
Haniff mencadangkan supaya Majlis Raja-Raja menggunakan peruntukan Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan Majlis Timbang Tara Diraja yang diberi kuasa menyelesaikan pertikaian di mana-mana negeri beraja.
Menurut beliau, tribunal itu boleh dianggotai seorang mantan Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi tetap bersama dua hakim bersara yang dipilih pihak-pihak yang bertikai.
Katanya, tribunal berkenaan perlu diberi kuasa menjalankan siasatan, mendapatkan fakta serta membuat keputusan berdasarkan Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing, adat, konvensyen dan sistem diraja setiap negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa proses timbang tara itu perlu dijalankan secara tertutup dan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi bagi mengelakkan institusi diraja menjadi bahan pertikaian terbuka kepada umum.
“Dengan cara itu, hormat rakyat kepada institusi diraja akan terus kekal,” katanya.
Walaupun tidak menyebut secara langsung mana-mana pihak politik, Haniff beberapa kali mengingatkan bahawa ahli politik tidak wajar masuk campur dalam urusan institusi beraja.
Cadangan beliau hadir ketika kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan terus menjadi perhatian selepas timbul pertikaian melibatkan beberapa jawatan Undang serta isu berkaitan proses adat dan pelantikan dalam sistem Adat Perpatih. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.