
KUALA LUMPUR | 17 Jan 26 — Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan akan mematuhi arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pembekuan sementara keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikaitkan dengan isu rasuah.
Menteri MINDEF, Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin memaklumkan kementerian kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berkaitan arahan tersebut, termasuk meneliti kaedah dan perincian pelaksanaannya agar selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan serta perundangan sedia ada.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa sebarang pertimbangan berkaitan pembekuan perolehan perlu mengambil kira keperluan kritikal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan kelangsungan operasi pertahanan negara kekal terpelihara serta tidak terjejas.
Menurut kenyataan itu, MINDEF juga akan membuat penilaian menyeluruh terhadap implikasi arahan berkenaan ke atas perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai. Penilaian tersebut akan mengambil kira obligasi kontrak, keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan.
Seiring dengan pendirian kerajaan memperkukuh integriti, MINDEF turut memaklumkan bahawa kementerian sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan terhadap proses perolehan, seperti yang diumumkan awal minggu ini, bagi memperkukuh tadbir urus dan mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha mengimbangi tuntutan integriti dan ketelusan dengan keperluan strategik mempertahankan kesiapsiagaan aset serta operasi pertahanan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini dilaporkan berkata semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara. Menurutnya, pembekuan itu dilaksanakan oleh kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.