Raja-raja Melayu Bersuara

Raja-raja Melayu semakin tegas bersuara terhadap kebimbangan rakyat jelata mengenai apa yang sedang berlaku kepada negara pada akhir-akhir ini.

Itulah kesimpulan saya setelah membaca berita-berita yang memetik titah beberapa orang Raja Melayu, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengenai isu-isu semasa.

Misalnya, dalam titah perasmian sidang Parlimen penggal kelima pada 19 Januari, Yang di-Pertuan Agong membangkitkan soal kedudukan bahasa Melayu dan rasuah.

Baginda menyuarakan kebimbangan mengenai rasuah yang sudah menular masuk ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tetapi bagi saya, rasuah atau salah guna kuasa dalam ATM ini bukan baru. Seawal 1980-an media massa sudah lapor.

Pada 14 Januari lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melahirkan kebimbangan terhadap gejala yang sama. Baginda kecewa kerana wujud pihak-pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang disabitkan kesalahan rasuah yang amat besar, seolah-olah perbuatannya diterima dan dimaafkan.

Yang di-Pertuan Agong mahu cabaran dan gangguan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan serta kedudukan bahasa Melayu ditamatkan. Titah baginda, pihak-pihak yang tidak dapat menerima Bahasa Melayu, tidak layak tinggal di Malaysia.

Tambah baginda, sebarang usaha untuk mengadakan sistem pendidikan baharu mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu boleh ditakrifkan sebagai merujuk kepada tuntutan yang tidak habis-habis oleh sekelompok orang Cina yang mahu sijil peperiksaan bebas pendidikan Cina, Unified Examination Certificate atau UEC, diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam. Tambah baginda, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.

Secara peribadi, saya tidak hairan dengan percubaan mendapatkan pengiktirafan untuk UEC dan kepentingan-kepentingan lain kerana pihak-pihak yang terbabit cuba menguji pendirian Kerajaan Madani.

Implikasi titah baginda Sultan Ibrahim mengenai bahasa Melayu dan sejarah ini menjadi lebih penting jika dibaca bersama kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang dilaporkan oleh media massa pada 20 Januari.

Berita itu, antara lain, memetik Anwar sebagai berkata, kontroversi mengenai UEC seharusnya berakhir berikutan kemasukan wajib mata pelajaran bahasa Malaysia dan sejarah dalam pengajian tinggi.

Beliau menambah, isu berkaitan UEC sudah banyak berubah kerana majoriti pelajar sekolah persendirian Cina sudah pun mula menduduki kertas bahasa Melayu dan sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama dengan kelulusan UEC mereka. Katanya, fokus sekarang sepatutnya ke arah perpaduan nasional dan rangka kerja pendidikan yang terangkum.

Jadi, kita jangan terperanjat jika isu UEC ini diselesaikan melalui pengiktirafan tidak langsung oleh Kerajaan Madani dengan menggunakan proses yang disebutkan oleh Anwar itu.

Yang di-Pertuan Agong turut mengalu-alukan pelbagai usaha kerajaan mereformasi institusi dan undang-undang, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.

Sama ada kebetulan atau telah dirancang sedemikian rupa, titah baginda mengenai rasuah telah mendapat reaksi spontan daripada jabatan tertentu.

Berkaitan rasuah, Sultan Ibrahim bertitah, “kalau kamu menyalahguna kuasa, menyeleweng wang awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi rasuah, kamu adalah pengkhianat negara.”

Satu kenyataan yang sangat tegas dan relevan memandangkan sudah ada tindakan peringkat tinggi meringankan hukuman ke atas perasuah dan membebaskan yang ada 47 kes prima facie. Ini berlaku dalam era Kerajaan Madani.

Satu respons segera terhadap titah Yang di-Pertuan Agong mengenai rasuah adalah oleh Badan Kehakiman. Pada 20 Januari, ia mengumumkan inisiatif bagi menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar kes-kes rasuah. Buat permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kesimpulannya, titah Yang di-Pertuan kepada Parlimen itu bukan saja bersemangat dan senada dengan harapan rakyat jelata, tetapi ia juga berupa kayu ukur kepada janji dan prestasi Kerajaan Madani.

Datuk A Kadir Jasin, mantan Ketua Pengarang NST. Artikel ini telah disiarkan di facebook beliau 21 Jan 26

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Analisis : Sebelum Mimpi Ke Putrajaya Selesaikan Dulu Kemelut Bersatu

Jangan sampai orang melihat Muhyiddin mampu menyatukan parti-parti lain dalam satu gabungan tetapi gagal menyatukan Bersatu yang makin haru biru. Bukan apa takut orang kata, ‘’rumahtangga orang lain dia satukan, rumahtangga sendiri berantakan’’…kalau macam itu macam mana nak tadbir Putrajaya…jalan-jalan cari makan kat situ bolehlah.
Read More
Total
0
Share