Politik Si Burung Unta

Dalam politik, ada yang mempertahankan diri dengan hujah, ada yang memilih penafian terbuka. Dan ada juga yang barangkali percaya bahawa diam adalah cara paling selamat untuk melepaskan diri — bagai burung unta menyembunyikan kepala ke dalam pasir, seolah-olah bahaya akan hilang dengan sendirinya.

Isu dakwaan campur tangan dalam penganugerahan kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan bukan cerita baharu. Ia telah dipersembahkan kepada umum, dilaporkan kepada SPRM, malah kini kembali dipersoalkan secara rasmi di Dewan Rakyat.

Namun apa yang kekal konsisten sejak awal ialah satu perkara: ketiadaan jawapan daripada tokoh yang namanya paling hampir dengan dakwaan itu.

Apabila seorang Ahli Parlimen membangkitkan kelewatan SPRM dan seorang menteri sendiri mengakui soalan itu berasas, persoalan sebenar bukan lagi tentang kandungan dakwaan semata-mata. Ia beralih kepada persoalan yang lebih besar, mengapa tiada keperluan dirasakan untuk menjelaskan apa-apa.

Seorang bekas Perdana Menteri yang pernah mengangkat imej pentadbiran bersih tentunya faham bahawa integriti bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal amanah dan keyakinan awam. Dalam keadaan sebegini, berdiam diri mungkin sah dari segi perundangan, tetapi ia gagal dari segi kepimpinan.

Lebih lama senyap itu berlarutan, lebih mudah ia ditafsir sebagai satu bentuk pengunduran tanpa penjelasan. Seolah-olah masa diharapkan dapat menguburkan persoalan yang tidak pernah dijawab. Hakikatnya, dalam era maklumat terbuka, masa tidak memadam, ia mengumpul tanda dan tanda boleh menjadi jebakan total kepada Si Burung Unta itu.

Apa yang lebih merisaukan, strategi diam ini turut menyeret institusi. SPRM kini terpaksa menanggung beban persepsi awam akibat kelambatan yang tidak diperjelaskan, sementara tokoh politik yang sepatutnya membantu menjernihkan keadaan memilih untuk kekal di luar medan penjelasan.

Akhirnya, isu ini tidak lagi tentang satu kontrak atau satu dakwaan. Ia tentang sama ada diam boleh dijadikan jalan keluar, dan sama ada rakyat masih boleh diyakinkan bahawa keadilan tidak tunduk kepada kedudukan dan hubungan.

Jika diam itu dianggap selamat, maka ia mungkin juga dianggap mencukupi. Tetapi dalam politik yang mendakwa menjunjung integriti, diam bukan pembelaan — ia hanyalah helah menangguhkan kebenaran. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share