Apakah Malaysia Masih Mempunyai Satu Acuan Nasional?

Dalam mana-mana negara, khususnya negara membangun yang sedang membina identiti nasional, pendidikan biasanya menjadi tiang utama penyatuan rakyat. Sebab itu kebanyakan negara meletakkan satu bahasa kebangsaan, satu kerangka pendidikan dan satu acuan identiti sebagai asas pembinaan bangsa.

Pendidikan bukan sekadar alat melahirkan tenaga kerja, tetapi medium membentuk kesedaran bersama tentang negara, sejarah dan masa depan yang dikongsi.

Di Malaysia, semangat itu pernah dirangka dengan jelas melalui Penyata Razak 1956 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tujuannya mudah; membina sebuah negara yang berkongsi satu identiti nasional melalui sistem pendidikan yang sama.

Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, bukan untuk memadam budaya lain, tetapi sebagai titik temu sebuah negara yang baru merdeka. Malah, bahasa kebangsaan ini bukan sekadar formaliti, sebalik ia bersandarkan hakikat sejarah sebelum era moden.

Namun dalam konteks itu, kewujudan dan perjuangan pengiktirafan UEC sentiasa menimbulkan persoalan besar terhadap naratif pembinaan negara bangsa.

UEC bukan sekadar sijil peperiksaan sistem persendirian, malah ia tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. Ia mewakili sebuah sistem pendidikan yang berkembang di luar arus utama Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Apabila tuntutan dibuat supaya UEC diiktiraf setaraf dengan SPM dan STPM, isu sebenar bukan lagi soal peluang pendidikan semata-mata. Tuntutan ini jelas sebuah tuntutan politik. 

Tuntutan politik ini sedang memaksa negara agar menerima sistem yang bergerak dengan falsafah, bahasa pengantar dan orientasi yang berbeza.

Di sinilah timbul percanggahan asas.

Negara membina perpaduan bukan sahaja melalui ekonomi, tetapi juga melalui penyatuan pendidikan, tetapi perjuangan UEC bergerak ke arah pengukuhan identiti pendidikan yang terpisah daripada kerangka nasional. Dalam jangka panjang, keadaan ini menimbulkan persoalan tentang arah identiti bersama rakyat Malaysia sendiri.

Jika setiap kelompok mahu sistem pendidikan sendiri yang berdiri setaraf dengan sistem kebangsaan, maka apakah makna sebenar sebuah dasar pendidikan nasional?

Pendukung UEC sering berhujah bahawa pengiktirafan tidak mengancam perpaduan dan hanya berkaitan hak pendidikan masyarakat tertentu. Namun hakikatnya, pendidikan tidak pernah neutral daripada soal identiti dan pembinaan negara.

Bahasa pengantar, kandungan sejarah, orientasi budaya dan struktur sistem pendidikan semuanya membentuk cara generasi muda berfikir dan melihat negara mereka.

Sebab itu ramai melihat tuntutan pengiktirafan penuh UEC bukan sekadar isu teknikal akademik. Ia adalah pertarungan idea tentang bentuk Malaysia yang mahu dibina. Sama ada Malaysia kekal berpaksikan satu kerangka nasional yang menyatukan, atau bergerak ke arah model masyarakat yang semakin terpisah mengikut aliran pendidikan dan identiti masing-masing.

Akhirnya, persoalan terbesar bukan tentang siapa lebih kuat atau siapa lebih berhak. Persoalannya ialah: bolehkah sebuah negara membina identiti bangsa yang kukuh jika generasi mudanya dibesarkan dalam sistem pendidikan yang semakin menjauh daripada naratif nasional yang sama? @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share