Zainul Rijal Cadang Pengantara Neutral Selesai Kemelut Institusi Adat Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR | 7 Jun 26 — Peguam syarie terkemuka, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, mencadangkan supaya pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian berkaitan institusi adat di Negeri Sembilan mencari titik persetujuan dengan melantik seorang pengantara yang neutral bagi membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Beliau berkata, individu yang dipilih sebagai pengantara itu perlu memahami selok-belok adat Negeri Sembilan serta merupakan anak watan negeri berkenaan bagi memastikan proses penyelesaian dapat dilaksanakan dengan adil dan dihormati semua pihak.

Menurutnya, pendekatan berasaskan musyawarah dan adat perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang boleh menjejaskan keharmonian institusi adat yang menjadi warisan negeri itu.

“Saya mencadangkan pihak yang berbalah di Negeri Sembilan mencapai kata sepakat melantik seorang pengantara yang faham isu adat dan anak watan Negeri Sembilan yang neutral bagi menyelesaikan pertikaian mereka berdasarkan adat,” katanya dalam satu kenyataan, di facebook, semalam.

Zainul Rijal turut berpandangan bahawa perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian tidak seharusnya terhad kepada kumpulan tertentu sahaja, sebaliknya perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam institusi adat berkenaan.

“Panggillah semua pihak yang terlibat dalam institusi adat tersebut untuk berbincang, bukan ahli DKU sahaja,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian secara rundingan dan persefahaman adalah langkah terbaik bagi memastikan kemelut yang berlaku dapat ditangani secara berhemah serta selaras dengan semangat adat yang diamalkan di Negeri Sembilan sejak sekian lama.

“Selesaikanlah kemelut ini dengan berhemah,” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai gesaan supaya semua pihak mengetepikan perbezaan dan memberi ruang kepada proses dialog yang lebih inklusif demi memelihara kestabilan serta kewibawaan institusi adat Negeri Sembilan.

Krisis perlembagaan Negeri Sembilan memuncak apabila Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, Jumaat lalu.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh  Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Krisis menjadi semakin rumit apabila pihak Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin dilaporkan mengemukakan bantahan rasmi terhadap keputusan pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 4 Jun lalu.

Menerusi surat rasmi yang dihantar melalui firma guaman Deidra Sharina & Co. kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, wakil kepada Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin menyatakan bantahan keras terhadap pembubaran tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share