Malaysia Bina Data Center, Tetapi Otak AI Masih Di Luar Negara

KUALA LUMPUR | 7 Jun 26 — Malaysia mungkin berjaya menarik pelaburan berbilion ringgit dalam sektor pusat data (data center), namun negara masih belum menjadi hab sebenar pembangunan kecerdasan buatan (AI) kerana aktiviti penyelidikan, pembangunan dan bakat utama industri itu masih tertumpu di luar negara.

Pandangan itu disuarakan Tokoh ICT dan Pelaburan, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak, yang menegaskan bahawa pusat data hanyalah salah satu komponen yang menyokong ekosistem AI, bukannya ukuran sebenar keupayaan sesebuah negara dalam teknologi berkenaan.

Menurut beliau, terdapat kekeliruan apabila pelaburan pusat data sering dikaitkan secara langsung dengan pembangunan AI.

“Bila orang cakap pasal AI, apa yang dimaksudkan dengan AI? Adakah data center? Data center adalah penyumbang kepada AI, tetapi ia bukan AI itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pelaburan pusat data yang diumumkan ketika ini lebih tertumpu kepada penyediaan infrastruktur pemprosesan data, sedangkan aktiviti bernilai tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan model AI serta penghasilan harta intelek masih berlaku di luar Malaysia.

“All the R&D, all the brain bukan di Malaysia. Data center itu tempat pemprosesan, tetapi yang buat penyelidikan dan pembangunan semua berada di luar negara,” katanya.

Abdul Hamid turut mempersoalkan kecenderungan negara meraikan pelaburan pusat data sebagai simbol kemajuan teknologi tanpa menilai manfaat sebenar yang diterima dalam jangka panjang.

“Data center is not something to be proud of,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pusat data memerlukan penggunaan tenaga elektrik dan air yang sangat tinggi untuk tujuan penyejukan sistem, sekali gus mewujudkan cabaran terhadap sumber utiliti negara.

Menurutnya, selepas pembinaan pusat data selesai, peluang pekerjaan yang diwujudkan juga lebih tertumpu kepada operasi dan penyelenggaraan, manakala pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang sains data dan pembangunan AI kebanyakannya kekal di negara lain.

Beliau mengibaratkan situasi tersebut seperti industri perlombongan yang hanya mengeksport bahan mentah tanpa memprosesnya bagi menghasilkan nilai tambah yang lebih tinggi.

“Kita buat mining, kemudian jual hasil mining saja. Kita tak proses di sini. Sepatutnya proses itu dibuat di sini supaya nilai tambah itu berada dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia memerlukan dasar yang lebih menyeluruh bagi menarik aktiviti penyelidikan, pembangunan teknologi serta bakat AI ke dalam negara, dan bukan sekadar menjadi destinasi pembinaan pusat data.

“Kita ada data center, tapi the real brain tu tak ada di sini. Jadi kita akan ada brain drain. Pakar-pakar dan saintis data akan keluar,” katanya.

Tambah beliau, tanpa perubahan dasar yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi bernilai tinggi, Malaysia berisiko terus bergantung kepada model ekonomi lama yang bersandarkan kos operasi rendah dan tenaga kerja murah, sedangkan persaingan global kini semakin tertumpu kepada penguasaan ilmu, inovasi dan teknologi AI.

Baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan tanggapan bahawa pusat data hanya menjana pekerjaan adalah tidak tepat kerana ia membawa manfaat ekonomi yang lebih luas selain pekerjaan secara langsung melalui ekosistem yang diwujudkannya.

Beliau berkata, kritikan bahawa pusat data mewujudkan jumlah pekerjaan yang agak kecil berbanding pelaburan dalam sektor pembuatan dibuat tanpa mengambil kira kesan limpahan ekonomi yang lebih luas dijana oleh industri tersebut untuk negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share