Isu Sempadan: Fadhli Dakwa Jawapan PM Berubah, Rakyat Terus Keliru

KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 — Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari, mempersoalkan konsistensi penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan kawasan seluas 5,207 hektar dalam rundingan sempadan Malaysia–Indonesia, sambil menyifatkan jawapan yang diberikan sebagai mengelirukan.

Menurut Fadhli, isu yang sebelum ini dinafikan keras dan dilabel sebagai fitnah kini diakui wujud, namun dikatakan bukan milik mana-mana negara kerana masih dalam kawasan rundingan, sekali gus menimbulkan kebimbangan berkaitan kedaulatan negara.

“Dalam isu sempadan negara, istilah bukan milik sesiapa bukan ayat yang menenangkan. Itu ayat yang menakutkan,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan yang menegaskan Malaysia tidak menyerahkan tanah sebagai pampasan, namun pada masa sama menyebut mengenai rundingan pampasan tanah, selain menuntut pendedahan peta dan dokumen sokongan kepada Parlimen.

“Yang rakyat persoalkan bukan retorik serah atau tidak serah. Rakyat tanya soalan yang sangat lurus. Adakah hasil rundingan terbaru ini menyebabkan kawasan yang sebelum ini berada dalam zon tuntutan atau pengaruh Malaysia kini diiktiraf berada di bawah pentadbiran Indonesia. Katanya.

Fadhli berkata rakyat hanya mahukan penjelasan yang jelas dan konsisten bahawa Malaysia tidak kehilangan sebarang wilayah hasil rundingan berkenaan.

“Kalau jawapannya ya maka itu perubahan jajaran. Dalam bahasa mudah orang kampung itu bermakna peta kita berubah. Tidak kisahlah mahu dipanggil selaras atau harmonikan, tanah tetap berpindah dari satu warna ke warna lain atas peta. Tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share