
PARLIMEN | 5 Feb 26 – Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, semalam, mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membahaskan semula keputusan kerajaan mengenai memorandum persefahaman sempadan Malaysia-Indonesia yang dipersetujui tahun lalu.
Dalam usul yang dikemukakan di bawah Peraturan 18(1) dan 18(2) Mesyuarat Dewan Rakyat, YB Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa banyak persoalan masih tidak terjawab meskipun Perdana Menteri telah memberikan penerangan awal mengenai isu tersebut.
Beliau menekankan bahawa Parlimen perlu diberi ruang untuk perbahasan penuh, bukan sekadar penjelasan satu hala.
“Meskipun tengahari tadi, YAB Perdana Menteri telah melakukan penerangan bagi pihak Kerajaan Persekutuan, namun banyak persoalan yang masih tidak terjawab dan banyak jawapan yang masih belum tuntas kerana tiada ruang perbahasan diberikan. Katanya dalam kenyataan di facebook.
Antara isu utama yang diketengahkan adalah kesahihan proses pemeteraian memorandum, sama ada ia selari dengan Perkara 1 dan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan, serta dakwaan kontroversi bahawa pihak Indonesia menerima tambahan 5,207 hektar wilayah Malaysia dalam perjanjian tersebut, menurut kenyataan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman.
“Adakah pihak Kerajaan Indonesia berdasarkan keterangan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada 21 Januari 2026 telah mengelirukan dan menyimpang apabila berkata, “Indonesia menerima tambahan 5,207 hektar kawasan dalam perjanjian tersebut yang sebelum ini merupakan wilayah milik Malaysia.”? Soalnya.
YB Wan Ahmad Fayhsal juga menekankan kepentingan wakil Sabah dalam isu ini, memetik sokongan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, yang turut menuntut penjelasan tambahan kerana perubahan sempadan memberi kesan langsung kepada kawasan mereka.
Beliau memohon agar YB Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mempertimbangkan permohonan ini supaya usul tergempar dapat dibahaskan sepenuhnya, seterusnya memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk menilai dan membincangkan implikasi memorandum itu kepada kedaulatan negara.
Maka, saya mohon agar YB Tan Sri Yang Di-Pertua dapat mempertimbangkan supaya usul tergempar ini dapat dibahaskan, bukan sahaja dibincangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Kontroversi berkaitan tanah sempadan antara Sabah (Malaysia) dan Kalimantan (Indonesia) tercetus apabila media berbahasa Inggeris di indonesia en.tempo.co, melaporkan bahawa Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Perbatasan (BNPP), Makhruzi Rahman menyatakan bahawa Indonesia dianugerahkan sejumlah 5,207 hektar wilayah daripada Malaysia sebagai pampasan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.