
KUALA LUMPUR | 10 Feb 26 — Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi membuka ruang kepada proses pemulihan dan pembinaan semula kekuatan parti secara menyeluruh.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr. Ronald Kiandee, berkata krisis dalaman yang berlarutan, khususnya melibatkan tindakan Lembaga Disiplin terhadap Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin serta pimpinan lain, telah memberi gambaran negatif kepada rakyat dan melemahkan keyakinan terhadap hala tuju parti.
Menurut beliau, kegagalan menangani perbezaan pandangan secara matang telah menyebabkan BERSATU dilihat semakin tersasar daripada matlamat perjuangan asal, selain menjejaskan hubungan strategik dengan rakan-rakan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“BERSATU memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan, bukannya pendekatan yang mengukuhkan perpecahan dalaman dan membungkam pandangan pimpinan parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ronald menegaskan bahawa tindakan disiplin yang dilihat menyasarkan pimpinan utama dan penyokong tertentu bukan penyelesaian kepada krisis, sebaliknya berisiko mempercepatkan proses hakisan kepercayaan akar umbi serta rakan gabungan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan langkah berundur secara terhormat oleh Presiden parti adalah jalan terbaik untuk memulihkan keyakinan, membina semula kekuatan organisasi serta mempersiapkan BERSATU menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendirian tersebut selari dengan prinsip kepimpinan berjiwa besar yang pernah disuarakan oleh Muhyiddin sendiri pada tahun 2008 di Singapura terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.