
KUALA LUMPUR | 18 Feb 26 — Pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berpotensi melahirkan penjajaran kuasa baharu dalam Perikatan Nasional (PN) sekaligus membuka lembaran baharu dalam politik nasional.
Penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan, krisis tersebut tidak hanya melemahkan struktur dalaman BERSATU, malah membuka ruang kepada kemunculan Hamzah sebagai paksi baharu dalam landskap gabungan pembangkang itu.
Menurut beliau, Hamzah dilihat mempunyai jaringan sokongan akar umbi yang kukuh serta pengaruh signifikan dalam kalangan pimpinan parti.
“Dalam situasi krisis, selalunya akan muncul satu figur yang menjadi titik tumpuan baharu. Jika Hamzah berjaya menggembleng sokongan dalaman dan mengekalkan kesepaduan penyokongnya, beliau boleh menjadi paksi baharu dalam BERSATU dan seterusnya dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Mazlan menjelaskan bahawa kekuatan sebenar ketika ini terletak pada kemampuan menghimpunkan sokongan akar umbi dan membina persefahaman strategik dengan rakan gabungan, khususnya PAS.
Tambah beliau, sama ada Hamzah mengambil semula kawalan parti atau memilih haluan menubuhkan platform politik baharu, kedudukannya dalam percaturan PN akan tetap signifikan sekiranya beliau mampu membuktikan sokongan yang konsisten.
“Krisis kepimpinan ini akan menentukan hala tuju BERSATU dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Jika berlaku peralihan sokongan secara besar-besaran, tekanan terhadap kepimpinan sedia ada pasti meningkat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa episod ini bukan sekadar soal perebutan jawatan, tetapi mencerminkan pertarungan legitimasi dan keabsahan sokongan dalam parti, faktor yang akan menentukan siapa sebenarnya menjadi paksi sebenar dalam gabungan tersebut.
“Krisis kepimpinan BERSATU ini akan menentukan arah masa depan Perikatan Nasional. Sama ada ia membawa kepada perpecahan lebih besar atau melahirkan struktur kepimpinan baharu yang lebih tersusun, semuanya bergantung kepada sejauh mana Hamzah mampu menggerakkan sokongan dan membina pakatan strategik,” katanya lagi.
Hamzah Zainudin di pecat Jumaat lalu, difahamkan surat pemecatan beliau dikirim sendiri oleh Muhyiddin Yassin menerui applikasi Whatsapp. Sehingga kini, seramai 18 orang Ahli parlimen menyatakan sokongn terhadap Hamzah, dan baki 6 lagi Ahli Parlimen BERSATU menyokong Muhyiddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.