
IPOH | 11 Mei 26 — Disebalik pemecatan keahlian dua ADUN BERSATU di Kedah, timbul dakwaan bahawa usaha menyingkirkan mereka bukan sekadar melibatkan tindakan disiplin parti, malah didakwa turut membabitkan campur tangan terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan institusi istana.
Mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail menrusi facebook beliau, mendakwa terdapat beberapa cubaan dilakukan bagi menggugurkan ADUN Sungai Tiang, Abd Razak Khamis dan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani daripada jawatan dalam kerajaan negeri Kedah.
Menurut beliau, kronologi itu bermula dengan pertemuan bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada malam 10 April sempena sambutan Hari Raya sebelum disusuli sesi menghadap Tuanku Sultan Kedah pada keesokan harinya.
Beliau berkata, perkara itu bukan lagi sekadar spekulasi kerana Sanusi sendiri sebelum ini pernah memberi bayangan mengenai cadangan pertukaran jawatan melibatkan kedua-dua wakil rakyat terbabit.
“Kalau benar ini hanya isu disiplin parti, kenapa perlu ada rundingan dengan Menteri Besar dan menghadap Tuanku terlebih dahulu?” soalnya.
Mohd Fadhli mendakwa tindakan pemecatan terhadap kedua-dua ADUN itu hanya berlaku selepas usaha menukar mereka dalam pentadbiran negeri gagal dilakukan.
Ketika dihubungi oleh politiko, beliau juga berkata bahawa situasi tersebut memberi gambaran bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin semakin hilang kawalan terhadap parti sehingga konflik dalaman dibawa ke peringkat kerajaan negeri.
Beliau turut mendakwa terdapat tiga cubaan dilakukan, termasuk rundingan dengan Menteri Besar Kedah, sembah maklum kepada Sultan Kedah dan akhirnya pemecatan daripada parti.
Menurut beliau lagi, ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, Bersatu sebaliknya terus dilihat sibuk dengan pergolakan dalaman serta tindakan penggantungan dan pemecatan ahli parti sendiri.
Semalam, Mantan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mempersoalkan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa Ahli Parlimen serta ADUN Bersatu yang disifatkannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan akar umbi parti.
Menurut beliau, pemecatan melibatkan YB Abd Razak Khamis selaku Timbalan Speaker DUN Kedah dan YB Dato’ Dzowahir Ab Ghani, EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah dilihat bukan sekadar isu disiplin parti semata-mata.
“Persoalannya… adakah tindakan ini berlaku selepas cadangan Presiden Bersatu untuk melucutkan jawatan mereka atas alasan ‘tidak perform’ ditolak oleh Menteri Besar Kedah?” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu laporan, menegaskan bahawa dua ADUN yang dipecat daripada BERSATU tidak dianggap sebagai pembangkang kerana masih menyokong kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).
Menurut Sanusi, kedua-dua mereka juga masih menjalankan tugas seperti biasa termasuk membabitkan portfolio kerajaan negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.