
KUALA LUMPUR | 21 Feb 26 — Proses penurunan kuasa kepada generasi muda dalam politik Malaysia dilihat sudah pun bermula apabila kelompok pemimpin baharu kini bukan sekadar pelapis, sebaliknya telah berfungsi secara aktif dalam sistem politik negara.
Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, generasi baharu hari ini telah pun bertanding dalam pilihan raya, memenangi kerusi Parlimen dan terlibat dalam pelbagai perbahasan dasar di peringkat nasional.
“Generasi baru ini dah bertanding. Dah jadi ahli Parlimen dan terlibat dalam macam-macam hal. Jadi kematangan politik kita itu telah mula melunyukkan, bahawa penurunan kuasa kepada yang muda ini sudah bermula,” katanya dalam wawancara bersama politiko.
Menurut beliau, dinamika yang sedang berlaku bukan sekadar perebutan individu, tetapi mencerminkan pertembungan antara generasi dalam struktur kepimpinan politik negara.
Dalam konteks itu, beliau membangkitkan persoalan tentang kedudukan tokoh-tokoh muda seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Wan Saiful Wan Jan.
“Kalau tidak, di mana letaknya Wan Fayhsal? Mana letaknya Wan Saiful? Ini adalah satu generasi baru dalam politik kita,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kelompok ini bukan lagi berada di pinggiran, sebaliknya sudah membuktikan kemampuan dalam gelanggang sebenar politik.
Selain itu, Prof. Shamsul turut melihat perkembangan ini sebagai kemunculan apa yang disifatkannya sebagai “politik orang pandai”.
“Politik orang pandai adalah berarti kata mereka ini semua berkeputusan baik, berpengalaman baik, bercakap bagus dan menyampaikan idea jelas. Sama ada menggunakan media lama tradisional atau media baru, mereka mampu,” katanya.
Antara nama yang dikaitkan dengan kelompok ini termasuk Khairy Jamaluddin dan Amiruddin Shari, yang menurut beliau mewakili satu kumpulan baharu yang tidak pernah dilihat sebelum 2018.
Perkembangan tersebut memperlihatkan bahawa landskap politik negara sedang bergerak ke arah fasa peralihan generasi, dengan keupayaan intelektual, kemahiran komunikasi dan pengalaman pentadbiran menjadi ciri utama kepimpinan masa depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.