
IPOH | 24 Feb 26 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manek, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin membidas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu kedudukan kerusi dalam Dewan, sambil menegaskan bahawa penentuan susunan tempat duduk adalah kuasa mutlak Speaker.
Menurut beliau, dalam amalan sistem Parlimen negara-negara Komanwel termasuk Malaysia, kedudukan kerusi dalam Dewan ditentukan oleh Speaker, dengan pembahagian jelas antara blok kerajaan dan blok pembangkang.
“Adalah amalan biasa dalam sistem Komanwel, sebelah blok kerajaan dan sebelah lagi blok pembangkang. Kuasa menentukan kedudukan kerusi dalam Dewan adalah hak Speaker,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainol menjelaskan bahawa di Malaysia wujud wakil rakyat bebas sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Kedudukan mereka dalam Dewan bergantung kepada sokongan yang diberikan, sama ada menyokong kerajaan atau pembangkang.
“Jika seorang wakil rakyat bebas menyokong kerajaan, maka tempatnya di blok kerajaan. Jika menyokong pembangkang, maka di blok pembangkang. Ia bukan semata-mata soal parti yang diwakili menentukan kedudukan kerusi dalam Dewan,” katanya.
Beliau turut mengimbas insiden pada April 2025 ketika sidang Dewan Negeri Perak, apabila Pengerusi PN Perak ketika itu menulis surat kepada Speaker bagi memohon supaya kedudukan kerusinya dipindahkan atas alasan beliau bukan lagi Setiausaha Negeri Bersatu Perak.
“Speaker tidak mengubah kedudukan saya kerana itu kuasa Speaker, bukan kedudukan jawatan dalam parti menentukan tempat duduk dalam Dewan. Faktor seperti peranan sebagai Ketua Whip Dewan Negeri, senioriti sebagai ADUN atau Exco juga diambil kira,” jelasnya.
Mengulas isu pelantikan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip Pembangkang, beliau menegaskan bahawa jawatan tersebut sewajarnya ditentukan oleh kalangan ahli Parlimen pembangkang sendiri, bukan diputuskan secara unilateral oleh parti tertentu.
“Selepas PRU15, kebetulan PN adalah blok pembangkang yang memilih Ketua Pembangkang. Hakikatnya, ia boleh diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen dalam blok pembangkang itu sendiri,” katanya.
Zainol turut menegaskan bahawa syarat wajib dalam Dewan ialah seseorang itu mestilah Ahli Parlimen atau ADUN. Mereka yang menentukan siapa menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang melalui sokongan dalam Dewan.
“Sebab itu akuan bersumpah (SD) yang laku dalam menentukan Perdana Menteri adalah daripada ahli Parlimen, bukan jawatan dalam parti. Janganlah bercakap atau menulis tanpa memahami sistem pengurusan Dewan,” katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat tanpa kefahaman jelas mengenai peraturan Dewan sebagai memalukan dan menyeru supaya semua pihak lebih berhati-hati serta berilmu dalam mengulas isu berkaitan sistem Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.