
KUALA LUMPUR, 27 DIS 25 — Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis serta peranan aktif Raja Muda Perlis menjadi faktor utama mengapa rakyat negeri itu tidak terlalu terkesan dengan kemelut politik berkaitan jawatan Menteri Besar ketika ini.
Menurut beliau, institusi Raja di Perlis memainkan peranan penting sebagai penstabil negeri, dengan pendekatan yang dekat dengan rakyat serta keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan keperluan masyarakat.
Dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial, facebook, Mohd Asri menegaskan rakyat Perlis meletakkan keyakinan tinggi terhadap kebijaksanaan Raja Perlis dalam menggunakan kuasa prerogatif selaras dengan Perlembagaan Negeri, termasuk dalam urusan pelantikan kepimpinan negeri.
Beliau turut menyentuh peranan signifikan Raja Muda Perlis yang dilihat aktif turun padang, memantau kebajikan rakyat dan memastikan jentera pentadbiran negeri terus berfungsi dengan baik, sekali gus meredakan kegusaran awam walaupun berlaku perubahan atau ketidaktentuan politik.
“Dalam keadaan ini, rakyat Perlis tidak merasa terlalu tergugat selagi institusi Raja berfungsi seperti biasa,” menurut pandangan Mufti Perlis itu.
Pandangan tersebut mencerminkan realiti di Perlis apabila isu politik dan pertukaran kepimpinan negeri tidak mencetuskan keresahan meluas dalam kalangan rakyat, sebaliknya keyakinan terhadap institusi Raja kekal menjadi sandaran utama kestabilan negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.