
MELAKA | 25 Feb 26 – Selepas lima daripada enam bahagian di Melaka membubarkan jawatankuasa masing-masing, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, melantik YB Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka yang baharu, menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang meletakkan jawatan.
Namun, pelantikan ini disifatkan oleh mantan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub, sebagai bukti bahawa kepimpinan pusat tidak memiliki pemimpin pelapis tempatan untuk memimpin BERSATU Melaka.
“Masih ada Ketua Bahagian yang sebelum ini bermatian-matian mempertahankan Presiden atas nama kesetiaan, namun tidak pula dipilih untuk mengemudi negeri. Kesetiaan rupanya bukan lagi ukuran, atau mungkin ada ukuran lain yang lebih ‘fleksibel’,” katanya.
Yadzil turut mengkritik kegagalan parti membina pelapis, menegaskan bahawa anak muda dan pimpinan baharu sekadar menjadi pelengkap barisan belakang pentas.
“Anak muda dan pimpinan baharu sekadar menjadi pelengkap barisan belakang pentas, manakala watak-watak lama terus berlakon di pentas utama sama ada dari dalam atau luar parti. Akhirnya, yang muda kekal tanpa pengalaman, yang berpengalaman pula berputar dalam kelompok sama,” ujar beliau.
Dalam kenyataan yang sama, Yadzil menyifatkan bahawa Melaka bukan sekadar bergolak, tetapi sudah ketandusan kepimpinan hingga Presiden parti terpaksa “mengimport” kepimpinan luar untuk memimpin negeri.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada tiada lagi pemimpin tempatan yang diyakini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa selepas satu demi satu pimpinan utama di peringkat pusat dan bahagian dipecat atau disisihkan, wakil rakyat dan akar umbi dibiarkan tergantung tanpa tali.
“Parti kini ibarat rumah lama yang hilang seri: catnya mengelupas, rangkanya retak, dan penghuninya semakin berkurang,” katanya.
Yadzil turut menyatakan persoalan utama samada ia strategi sebenar untuk masa depan BERSATU, atau sekadar memanjangkan hayat politik segelintir individu?
Mengulas lanjut, Yadzil berpendapat bahawa BERSATU kini ketandusan pemimpin yang setara dengan mantan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.
“Semakin terserlah apabila kekosongan besar terpaksa dipikul bersama oleh 2 orang Naib Presiden. Ini bukan soal struktur semata-mata, tetapi soal kehilangan graviti dalam kepimpinan. Katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.