
KUALA LUMPUR | 28 Feb 26 – Kesemua 43 Ahli Parlimen PAS menyatakan sokongan terhadap kedudukan Ketua Pembangkang, sekali gus menegaskan blok parti itu berada dalam keadaan solid dan tidak berpecah dalam isu kepimpinan di Dewan Rakyat.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa sokongan tersebut melibatkan keseluruhan 43 Ahli Parlimen parti itu, dengan tambahan sokongan daripada Ahli Parlimen MIC.
Ketika ini, jawatan Ketua Pembangkang masih dipegang oleh Hamzah Zainudin, sementara proses penyusunan dan pelantikan rasmi akan dimuktamadkan dalam sesi persidangan Parlimen akan datang.
Menurut beliau, PAS tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan rasmi memandangkan Ahli-Ahli Parlimen parti itu kini memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat yang lebih mendesak, termasuk perjanjian antarabangsa, kedudukan Peguam Negara serta pelbagai isu dalaman negara.
“Kita tidak perlu gopoh. Banyak isu rakyat yang sedang dibincangkan. Kita beri ruang untuk selesaikan perkara itu dahulu,” katanya kepada wartawan, semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyusunan semula kepimpinan pembangkang akan dibuat secara tersusun dan berdasarkan perbincangan dalam blok pembangkang, bagi memastikan kestabilan dan kesepakatan berterusan.
Perkembangan ini sekali gus menepis spekulasi wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan Ahli Parlimen PAS berhubung jawatan Ketua Pembangkang, dengan parti itu menegaskan pendirian kolektifnya dalam memastikan peranan semak dan imbang terus berfungsi di Parlimen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.