Pada hari Rabu lepas (4 Mac) saya terbaca di Sinar Harian, berita mengenai kenyataan Presiden BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan dia tak rela membiarkan BERSATU berkubur tanpa nisan. Bunyinya cukup hebat dan bersemangat. Meremang bulu roma membacanya.
Tapi itu bagi yang tak kenal Muhyiddin dan yang tak tahu apa yang berlaku dalam BERSATU sekarang. Bagi yang tahu, kenyataan itu cuma sesuai dibuat bahan gelak. Jadi hiburan bagi kurangkan rasa lapar dalam bulan puasa ini.
Kenyataan Muhyiddin itu jelas membayangkan kebimbangannya terhadap masa depan BERSATU. Dia sendiri pun dah tak yakin partinya akan dapat bertahan. Kalau dia yakin takkanlah dia sebut bab kubur. Macam orang sakit jugalah.
Kalau dia yakin penyakitnya tidak mudarat, dia akan bercakap benda-benda yang positif. Dia akan cerita apa yang dia akan buat bila sembuh nanti. Kalau dia bercakap pasal kubur pun, maksudnya adalah untuk membuat lebih banyak amalan, kebaikan dan kebajikan. Dia tak risau kuburnya bernisan atau tak bernisan.
Tapi, sejujurnya Muhyiddin memang berhak risau. Malah dia bukan setakat patut risau BERSATU berkubur tanpa nisan, tetapi juga harus bimbang parti itu mati tak berkubur. Maknanya, reput macam tu sahaja tanpa sempat dikuburkan.
Kenapa saya kata dia perlu risau? Sebab pada hari yang sama Muhyiddin menzahirkan kerisauan itu, empat lagi ketua bahagian yang memegang jawatan penting dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) Wilayah Persekutuan dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan.
Mereka ialah Timbalan BPN yang juga Ketua Bahagian Seputeh, Setiausaha (Ketua Bahagian Segambut), Ketua Penerangan (Ketua Bahagian Bukit Bintang) dan Bendahari, (Ketua Bahagian Titiwangsa).
Semalam, Khamis (5 Mac) pula ada berita mengenai keputusan beberapa pemimpin BERSATU Bahagian Titiwangsa serta ketua cawangan yang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti. Turut tersiar berita peletakan jawatan Ketua ARMADA Negeri Wilayah Persekutuan, Aendrie Azwan Abdul Aziz yang berkuat kuasa serta merta.
Dari Kedah pula ada berita peletakan jawatan Ketua Srikandi Bahagian Merbok yang juga Penolong Setiausaha Srikandi Negeri Kedah, Shaqirah Muin dan Penolong Bendahari Srikandi Negeri Kedah Faizah Mat Thair.
Itu yang tersiar di media. Yang tidak tersiar atau belum tersiar pun banyak. Hari-hari ada sahaja orang keluar dari BERSATU. Yang sedang merancang, hanya tunggu masa untuk keluar pun sangat ramai.
Sebagai salah seorang tenaga awal di sebalik penubuhan BERSATU saya berani kata lebih mudah mengajak orang keluar dari BERSATU sekarang ini berbanding ketika nak ajak mereka masuk BERSATU dulu.
Dalam mana-mana organisasi pun, alamat paling buruk adalah apabila ahli-ahlinya mula keluar beramai-ramai. Lebih malang lagi bagi BERSATU kerana dalam kalangan yang tak keluar itu pun, ramai yang menyokong kawan-kawan yang keluar.
Bayangkan, 13 Ahli Parlimen memilih untuk menyokong orang yang dipecat oleh parti, dan tidak menyokong presiden mereka sendiri. Seingat saya tak pernah ada mana-mana parti politik lain di Malaysia melalui pengalaman seburuk itu.
Sebagai orang yang dari mula terlibat dengan BERSATU, saya tidaklah gembira dengan perkembangan ini. Saya yakin kawan-kawan saya yang ditendang keluar dari BERSATU, atau yang bertindak meninggalkan BERSATU secara sukarela sekarang pun macam tu juga. Semuanya sedih melihat rumah yang pernah diduduki makin hari makin reput dimakan anai-anai.
Tetapi apa pilihan kami kalau setiap usaha untuk cuba memulihkan parti dilihat sebagai pengkhianatan? Institusi presiden yang sepatutnya menjadi pelindung organisasi bertukar menjadi rumah tempat musang dan tikus bersarang. Presiden pula dilenakan dengan syair dan lagu yang sedap-sedap. Hidup dalam nostalgia dan syok sendiri.
Dalam keadaan sekarang tiada siapa pun boleh menyelamatkan BERSATU. Ia bukan sahaja hilang faktor ‘WOW’, tetapi juga hilang arah. Dan kalau keadaan ini berterusan tidak lama lagi pemimpin-pemimpinnya akan hilang akal. Tanda-tanda ke arah itu memang dah ada.
Saya cukup yakin bahawa penyudahnya nanti BERSATU akan mati tanpa kubur. Dan kalau semua itu berlaku Muhyiddin tak boleh salahkan sesiapa. Dia patut berdiri di depan cermin. Kalau boleh ajak Azmin dan Tun Faisal berdiri sekali. Renung betul-betul cermin tu. Mana tahu kut-kut ada bayang PH atau PKR di dalamnya.
YB Abdul Razak Khamis, Mantan Ketua BERSATU Bahagian Pendang. Artikel ini telah disiarkan di ruangan facebook beliau pada 6 Mac 2026
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.