
KUALA LUMPUR | 30 Apr 26 — Ahli Parlimen Ketereh, YB Dato’ Khlir Mohd Nor mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin BERSATU yang mengeluarkan notis terhadap beliau susulan kehadirannya ke program yang dikaitkan dengan gerakan “RESET”.
Menurut beliau, kehadiran tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan memandangkan beliau hanya hadir untuk mendengar ucapan tanpa terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar disiplin parti.
“Dalam notis dikatakan salah saya hadir ke acara RESET. Saya rasa tak salah, saya cuma datang dengar sahaja,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada parti untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, termasuk jika tindakan disiplin ingin diambil.
“Kalau nak pecat, pecatlah,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Khlir menjelaskan bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas kerana beliau bertanding atas tiket PAS, bukan BERSATU.
“Saya tanding atas tiket PAS, bukan BERSATU. Kalau dipecat, saya masih Ahli Parlimen PAS,” ujarnya.
Isu ini digunakan BERSATU yang dilihat menggunakan Lembaga Disiplin terhadap pemimpin parti berkaitan kehadiran ke program-program yang dikaitkan dengan gerakan “RESET” oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.