
KUALA LUMPUR | 30 Apr 26 — Cadangan penganjuran pesta air berkonsepkan Songkran di kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang terus mencetuskan perdebatan hangat, apabila beberapa pihak tampil menyuarakan kebimbangan terhadap kesesuaian budaya, sensitiviti agama serta implikasi sosial program tersebut.
Pengerusi Majlis Budaya & Warisan Negara (MBWN), Dato Dr Abdul Mua’Ti @Zamri Bin Ahmad, menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak prinsip kepelbagaian budaya, namun mempersoalkan kewajaran mengangkat tradisi luar sebagai acara utama di ruang awam ikonik negara.
Menurut beliau, terdapat perbezaan jelas antara menghormati kepelbagaian budaya dan mempromosikannya secara besar-besaran sehingga berpotensi menjejaskan identiti nasional. Dalam konteks Malaysia sebagai negara berdaulat, keterbukaan tidak seharusnya membawa kepada pengaburan garis sempadan nilai dan jati diri.
“Negara yang kukuh ialah negara yang mempunyai sempadan nilai yang jelas. Kemajuan tidak boleh diukur hanya melalui kemeriahan acara, tetapi juga kekuatan identiti dan kestabilan sosial, katanya.
Sehubungan itu, Mua’ti menggesa pihak berkuasa menilai semula penganjuran pesta tersebut, khususnya di lokasi utama seperti Bukit Bintang, serta mengutamakan program kebudayaan tempatan yang memperkukuh identiti nasional. Mereka turut mencadangkan garis panduan lebih ketat bagi penganjuran acara awam agar selari dengan prinsip kesopanan, keselamatan dan sensitiviti masyarakat.
Dalam masa sama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Melaka melalui AJK Lajnah Penerangannya, Khairuddin Abu Hassan, turut menyuarakan kebimbangan terhadap impak program berkenaan terhadap norma dan nilai tempatan.
Beliau menegaskan bahawa setiap program hiburan berskala besar perlu diteliti secara rapi agar tidak menimbulkan konflik dengan sensitiviti agama dan budaya masyarakat.
“Peranan pihak berautoriti agama dan kerajaan amat penting dalam menetapkan garis panduan jelas supaya keseimbangan antara sektor pelancongan dan pemeliharaan nilai masyarakat dapat dicapai,” katanya.
MBWN turut menekankan beberapa risiko yang perlu diberi perhatian, termasuk kemungkinan pelanggaran norma kesopanan, percampuran sosial tanpa garis panduan jelas, cabaran keselamatan awam serta kesan terhadap persepsi antarabangsa terhadap imej Malaysia sebagai negara berprinsip.
Selain itu, aspek pembangunan belia juga dibangkitkan, dengan kebimbangan bahawa penganjuran acara berunsur hiburan melampau boleh mendorong budaya hedonistik yang tidak selari dengan usaha pembinaan sahsiah generasi muda.
Isu ini kini berkembang menjadi perbahasan lebih luas dalam kalangan pemerhati dan masyarakat, yang melihat keperluan pendekatan lebih seimbang dalam merancang acara berskala besar di bandar utama.
Setakat ini, pihak penganjur belum mengeluarkan kenyataan rasmi lanjut berhubung polemik yang tercetus. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.