
KUALA LUMPUR | 24 Mac 26 — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mencadangkan penggubalan tiga undang-undang baharu bagi mengekang salah guna dana, rasuah dan konflik kepentingan dalam negara.
Menurut beliau, cadangan pertama melibatkan undang-undang berkaitan salah laku dalam jawatan awam yang bertujuan mencegah perlakuan tidak wajar dalam kalangan penjawat kerajaan, sekali gus menutup ruang kepada kesalahan lebih serius.
Cadangan kedua pula menyentuh keperluan menggubal Akta Kebajikan bagi membendung penyalahgunaan dana awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya khusus bagi memantau sumbangan awam dan korporat.
Menurut Azam, langkah ini penting kerana SPRM mengesan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan dana oleh individu yang mempunyai akses kepada sumber kewangan tersebut.
Cadangan ketiga yang dianggap paling kritikal adalah berkaitan pembiayaan politik. Katanya, isu itu bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, namun masih belum dilaksanakan.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang berkaitan pembiayaan politik perlu mewajibkan pendedahan sumbangan dan pinjaman bagi mengelakkan konflik kepentingan, rasuah serta pengaruh tidak wajar dalam sistem politik negara.
Perkembangan itu berlaku ketika Azam terus berdepan kritikan awam susulan laporan antarabangsa yang mendakwa beliau memiliki pegangan saham besar dalam dua syarikat, melebihi had yang dibenarkan bagi penjawat awam.
Laporan itu turut mendakwa wujud penglibatan pegawai SPRM dalam tekanan terhadap pesaing perniagaan serta pengaturan pengambilalihan korporat, dengan dakwaan Azam mengetahui perkara tersebut.
Susulan dakwaan berkenaan, beliau telah memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap pihak yang membuat tuduhan, namun hanya melibatkan aspek tertentu berkaitan pegangan sahamnya.
Dalam masa sama, laporan media asing turut mendakwa kontraknya sebagai ketua SPRM mungkin tidak disambung selepas tamat tempoh pada Mei ini, berdasarkan maklumat daripada sumber dalaman. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.