Ukuran Kekuatan Politik – Inklusif, Terbuka dan Kerjasama
Di sinilah muncul perdebatan menarik dalam kalangan pemerhati politik dan pelayar media sosial. Ada yang berpendapat kekuatan politik tidak boleh diukur dengan berapa ramai orang hadir dalam satu majlis.
Kayu ukur berjaya atau sebaliknya majlis bergantung juga pada keterampilan dan keistimewaan individu memancarkan aura kepimpinan dan corak jalinan kemesraan dalam persahabatan.
Seorang tokoh politik DUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menyatakan bahawa usaha menyatukan pelbagai kelompok dalam politik memerlukan tokoh yang boleh diterima oleh semua pihak. Menurut beliau, tidak semua pemimpin memiliki karakter positif dan ‘personal touch’ itu.
Yadzil berkata lagi, “tokoh yang dilihat mempunyai keupayaan tersebut ialah Hamzah Zainudin, yang menurutnya memiliki kemahiran tersendiri dalam menarik sokongan daripada pelbagai pihak”.
Apa yang jelas, Hamzah amat pemurah dengan senyuman dan mudah mesra dengan sesiapa, walaupun baru pertama kali berjumpa.
Seorang penganalisis media sosial pula, Dr Arman Ashaari, berpendapat rakyat sebenarnya mahu melihat pembangkang yang bersatu dan mampu duduk semeja. Baginya, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai kaliber dalam berpolitik. Beliau mampu menarik pelbagai tokoh politik ke satu majlis menunjukkan adanya jaringan politik yang luas.
Beliau menambah, “Sangat-sangat berharap Dato’ Seri Hamzah dan parti barunya dapat memberi kekuatan tambahan pada PN. Rugilah kalau mereka berjuang bersendirian atau masuk kumpulan lain. Gandingan Dr Sam dan Dato’ Seri Hamzah memang meletup”.
Manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menyifatkan Majlis Iftar anjuran Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, sebagai satu acara yang membawa “isyarat luar biasa” dalam landskap politik negara. Apabila parti-parti baru dan bersekutu hadir menunjukkan keterbukaan dan kemesraan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan mesra dan inklusif sebegini dapat membina landskap politik yang lebih harmonis, sekaligus memberi mesej bahawa kerjasama dan keterbukaan semua pihak kini menjadi tumpuan utama pemimpin politik.
Majlis Presiden Bersatu: Ramai Orang, Banyak Gambar
Pada masa yang sama, Majlis Iftar yang dikaitkan dengan kepimpinan Bersatu yang diadakan di Kelang, Selangor turut meriah dan mendapat perhatian umum. Kononnya “ramai ahli hadir”. Gambar demi gambar dari pelbagai sudut dimuat naik di media sosial. Kerusi penuh.
Dewan nampak padat penuh sesak dengan kader-kader berbaju merah. Mereka berbaris panjang seolah ada pertandingan makan nasi beriani. Sudut kamera pula cukup strategik. Melihat gambar-gambar dimuat naik ke media sosial, seseorang mungkin menyangka sebuah gelombang politik besar sedang berlaku.
Dalam politik moden, mengumpulkan orang ramai bukan perkara yang sukar. Jika ada ‘bumbu dan ongkos’ segalanya beres – undangan pusat pada bahagian secara kerahan dan mobilisasi penyokong secara paksaan.
Malah sekadar janji makan percuma pun sudah cukup untuk memenuhkan dewan. Tetapi itu bukan ukuran sebenar kekuatan dan pengaruh politik.
Memetik pula pandangan kritis Exco Armada Nasional, Hariz Faisal Ismail. Beliau mengingatkan kepada para penyokong Muhyiddin dan Azmin, satu perkara perlu difahami, “Jangan samakan Majlis Berbuka Puasa Dato’ Seri Hamzah Zainudin dengan Majlis IFTAR Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berdasarkan jumlah orang yang datang”.
Beliau menambah, “Kalau ukuran kekuatan politik hanya pada bilangan orang hadir makan nasi, percayalah sesiapa pun boleh buat majlis nampak penuh. Ajak sahaja mat-mat rempit, bawa sekali geng-geng yang biasa diimport untuk penuhkan kerusi. Itu bukan perkara susah. Kalau mahu buat “crowd”, sehari pun boleh kumpul ribuan orang. Maklumlah, ‘makan percuma’ bukan selalu ada”.
Politik: Kuantiti atau Kualiti?
Berpandu sudut pandangan dan pengalaman ‘orang lama’ – politik sebenar bukan tentang kuantiti. Ia berkait rapat dengan kualiti. Dalam politik, kadang-kadang satu meja yang dipenuhi tokoh berpengaruh lebih bermakna daripada satu dewan yang dipenuhi orang biasa. Ini bukan soal merendah-rendahkan sesiapa.
Tetapi hakikat politik memang begitu. Keputusan besar negara biasanya dibuat oleh segelintir orang yang mempunyai pengaruh. Seperti kata veteran politik, “Seribu orang di halaman belum tentu sama nilainya dengan sepuluh orang di meja rundingan.”
Justeru, Majlis Berbuka Puasa anjuran Dato’ Seri Hamzah Zainudin tidak sengaja dihias dengan ribuan manusia. Tetapi siapa yang hadir di situ memberi gambaran jelas tentang kekuatan sebenar kepimpinan penganjur. Mereka hadir dengan rela hati tanpa mendapat sebarang imbuhan. Antara yang hadir ialah:
– Ahli-ahli Parlimen PN (MP)
– Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PN (ADUN)
– Presiden parti dalam gabungan dan pro Perikatan Nasional
– Kepimpinan daripada Parti Islam Semalaysia PAS
– Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia
– Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP)
– Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)
– Presiden Malaysian Indian Congress (MIC)
– Presiden-presiden NGO
– Majlis Penasihat Ayahanda Negeri Selangor
– Ketua-ketua Bahagian RESET dari seluruh negara
Pendek kata, yang hadir dan datang makan bukan sekadar orang biasa. Yang hadir ialah orang yang ternama ada posisi, ada pengaruh, dan ada peranan dalam politik serta masyarakat. Kehadiran ramai ‘party decision makers’ memperlihatkan karisma dan kredibiliti Dato’ Seri Hamzah Zainudin amat dipercayai dan disenangi.
Justeru, kepada juak-juak Azmin Ali, kalau benar mahu berbangga dengan majlis yang “ramai orang”, silakan. Tiada siapa yang menghalang. Tetapi dalam politik yang matang, kekuatan tidak diukur dengan bilangan pinggan nasi, tetapi dengan siapa yang duduk di meja kepimpinan.
Kalau mahu berlawan, lawanlah dari segi kualiti kepimpinan yang hadir bukan sekadar kuantiti manusia dalam gambar. Di zaman AI ini, gambar pun boleh dimanipulasi mengikut situasi, kepentingan parti dan peribadi.
Oleh; Ramlee Wahab, Sri Gading, Batu Pahat, Johor
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.