
KUALA LUMPUR | 27 Mac 26 — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memohon agar satu Sidang Khas Dewan Rakyat dipanggil dalam kadar segera bagi membincangkan implikasi konflik di Iran terhadap Malaysia dan ekonomi global.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat susulan pelbagai persoalan dan reaksi yang diterima dalam kalangan rakyat selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menurutnya, isu-isu yang dibangkitkan perlu diteliti secara konstruktif, telus dan melalui perbincangan dua hala dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, bagi pihak Ahli Dewan Rakyat dari Blok Pembangkang, saya telah mengutuskan satu surat rasmi kepada YAB Perdana Menteri bagi memohon pertimbangan untuk memanggil satu Sidang Khas Dewan Rakyat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah menjelaskan, sidang khas tersebut penting bagi membolehkan implikasi konflik berkenaan dibincangkan dan dibahaskan secara komprehensif, termasuk kesannya terhadap ekonomi global serta Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa permintaan itu mencerminkan komitmen blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam memastikan negara bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Katanya, antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat sekiranya ketidaktentuan global terus berlarutan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.