
KUALA LUMPUR | 30 Mac 26 — Sungguhpun Malaysia sebagai negara pengeluar minyak, namun ia disifatkan gagal melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api, walaupun memiliki sumber sendiri.
Pengerusi Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, situasi ini bukan sekadar ironi, tetapi mencerminkan kelemahan dasar dan struktur ekonomi tenaga negara.
“Malaysia adalah negara pengeluar minyak, tetapi rakyatnya masih membayar harga bahan api seperti negara pengimport. Ini bukan sekadar ironi, ini adalah kegagalan dasar.”
Menurut beliau, kenaikan harga minyak dunia akibat konflik geopolitik seperti di Iran hanya mendedahkan kelemahan dalaman yang telah lama wujud.
“Masalahnya bukan pada krisis global, tetapi pada kegagalan struktur domestik yang telah lama dibiarkan tanpa pembetulan yang serius.”
Beliau turut mengaitkan isu ini dengan keupayaan kepimpinan kerajaan semasa dalam menangani tekanan ekonomi global.
“Kegagalan ini mencerminkan keterbatasan kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI dalam menterjemahkan realiti ekonomi global kepada perlindungan domestik yang berkesan.”
Armin menjelaskan bahawa walaupun Malaysia mengeksport minyak mentah, negara masih bergantung kepada import bahan api bertapis, sekali gus menyebabkan harga domestik terikat kepada pasaran global.
Justeru, keadaan ini mewujudkan situasi paradoks apabila kerajaan mendapat manfaat fiskal daripada harga minyak tinggi, tetapi rakyat menanggung kos yang meningkat.
“Negara mendapat manfaat daripada harga minyak tinggi di peringkat fiskal, tetapi rakyat menanggung kos di peringkat pengguna.”
Tambah beliau, ketiadaan mekanisme seperti dana penstabil harga minyak menyebabkan kerajaan bergantung kepada subsidi jangka pendek yang tidak mampan.
“Ketiadaan mekanisme ini menyebabkan kerajaan bergantung kepada subsidi ad hoc yang menelan kos besar tanpa jaminan kelestarian.”
Menurutnya, langkah seperti subsidi dan bantuan tunai hanya bersifat sementara dan gagal menyelesaikan punca sebenar masalah.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tanpa reformasi struktur termasuk pengukuhan kapasiti penapisan, mekanisme harga yang lebih kukuh dan dasar keselamatan tenaga, Malaysia akan terus terdedah kepada kejutan global.
“Tanpa langkah-langkah ini, setiap krisis global akan terus menjadi alasan, dan rakyat akan terus menjadi mangsa kepada kegagalan dasar yang sama berulang kali.”
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan lagi sekadar cabaran ekonomi, tetapi melibatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan.
“Malaysia bukan sekadar mangsa kepada krisis global tetapi mangsa kepada kegagalan kita sendiri membina sistem yang mampu melindungi rakyat. Katanya.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa kuota bulanan bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) akan diselaraskan sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April 2026.
Keputusan ini dibuat susulan tekanan terhadap bekalan minyak dan kenaikan harga petrol di pasaran global akibat konflik di Asia Barat.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memohon agar satu Sidang Khas Dewan Rakyat dipanggil dalam kadar segera bagi membincangkan implikasi konflik di Iran terhadap Malaysia dan ekonomi global.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat susulan pelbagai persoalan dan reaksi yang diterima dalam kalangan rakyat selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.