Majlis Iftar Hamzah Vs Majlis Iftar Muhyiddin: Bah. Akhir

Sebahagian besar yang dilantik ialah bekas ahli PKR sebagai Ketua Bahagian.  Bila mana ada jawatankuasa bahagian umum bahagian bubar maka pusat membantah tidak ikut perlembagaan. Tetapi, adakah lantikan Ketua Bahagian benar-benar mengikut perlembagaan parti?   

Nampaknya istilah ‘pemangku’ langsung tidak wujud? Justeru, ‘cakap-cakap’ di warong kopi bahawa Bersatu bakal diserap gandingkan dengan PKR memang terasa pahit kopinya.  

Maka tidak hairanlah, baru-baru ini berlaku retaliasi oleh bekas Ketua Armada Teluk Intan, Muhammad Munawar Biran mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan parti dalam pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) baharu.  Beliau memohon siasatan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 terhadap kemungkinan berlakunya pelanggaran tatakelola organisasi.  

Menurutnya, pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) itu didakwa dibuat tanpa pengetahuan Timbalan Ketua Bahagian serta jawatankuasa yang dipilih secara sah melalui pemilihan parti di peringkat bahagian.

Munawar menambah, berdasarkan amalan organisasi dan prinsip pentadbiran parti, jawatan Ketua Bahagian sepatutnya dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian selepas pemecatan ketua bahagian terdahulu, selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Bahagian.

“Namun secara tiba-tiba seorang individu dilantik sebagai Ketua Bahagian (Penaja) walaupun didakwa tidak mempunyai sokongan kukuh di peringkat bahagian,” katanya lagi.  Perkara tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan serta integriti proses membuat keputusan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Memetik juga pandangan mantan Ketua Penerangan Bahagian Hulu Langat, Shafiq Halim, beliau mendakwa perkembangan tersebut menyebabkan Bersatu kini dilihat seolah-olah menjadi “PKR 2.0”.

Beliau menambah, “Perlantikan-perlantikan ini jelas menunjukkan pengaruh Azmin Ali dalam menyusun individu-individu tertentu untuk memonopoli jawatan-jawatan penting dalam parti BERSATU, yang kini dilihat sebagai PKR 2.0, dikuasai oleh kelompok-kelompok yang dikenali sebagai kartel iatu pengikut Azmin Ali.”

Turut memberikan pandangan, bekas Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi, mendakwa kemasukan Azmin Ali ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia mempunyai matlamat jangka panjang untuk membawa masuk kelompok bekas ahli Parti Keadilan Rakyat, sekali gus menjadikan parti itu sebagai “PKR 2.0”.  

Katanya lagi, ““Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk ‘salin kulit’ struktur parti dengan membawa masuk kelompok baharu yang kebanyakannya mempunyai latar belakang PKR.”

Perbandingan Mesti Adil dan Logik

Sebab itu, jika benar mahu membuat perbandingan antara dua majlis ini, janganlah sekadar kira jumlah kerusi yang penuh atau berapa banyak kambing golek yang habis dimakan.  Nilailah siapa yang duduk di kerusi itu, parti apa yang mereka wakili dan apakah jawatan yang mereka sandang. Ini penting dan dikira sebagai kualiti tetamu yang hadir.   

Kerana dalam politik, satu meja yang dipenuhi pemimpin berpengaruh jauh lebih bermakna daripada satu dewan yang dipenuhi orang yang dikerah kehadirannya, hadir sekadar untuk makan percuma dan turut menyelinap di celah-celah para hadirin adalah pengkhianat-pengkhianat parti.

Jauh jika dibandingkan Majlis Iftar Ketua Pembangkang terbukti tidak bermotifkan politik parti, memandangkan Ketua Pembangkang sendiri kini merupakan Ahli Parlimen Bebas.  Ianya lebih kepada pertemuan dan silaturahim dalam suasana Ramadan bersama sahabat-sahabat karib.

Presiden Hilang Sokongan – ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’

Dapat dibuat kesimpulan di sini, bahawa Presiden Bersatu sudah hilang sokongan apabila berpuluh Ahli Parlimen, ADUN dan ratusan Ketua Bahagian dan AJK Bahagian menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin.  

Mengikut data terkini, sudah lebih 60 bahagian di seluruh Malaysia dibubarkan dan akan ada bahagian-bahagian lain yang akan menyusul dibubarkan nanti.

Paling ketara, Majlis Iftar anjuran Ketua Pembangkang, Dato’ Hamzah Zainudin mendapat liputan meluas oleh media tempatan – malah ucapan beliau juga begitu padat dan bermanfaat.  Sebaliknya Majlis Iftar Bersatu Selangor anjuran Azmin Ali  beritanya tidak langsung tersiar di media utama tempatan. Sekadar berlegar-legar di dalam media sosial kendiri dan penyokong ahli-ahli Bersatu. Timbul persoalan, mengapa media tidak dijemput?

Jamuan Tidak Pernah Kosong Makna

Majlis berbuka puasa bukan sekadar acara sosial, tapi menjadi ruang merapatkan ukhuwah – dua Majlis Iftar ini mungkin sekadar pertemuan Ramadan atau mungkin juga petunjuk halus kepada sesuatu yang lebih besar. Petanda perubahan dalam percaturan politik negara – hanya masa yang akan menentukan.

Namun dalam politik, isyarat jarang muncul secara terang – setiap kehadiran, setiap pertemuan, setiap sosok yang tampil dan memilih duduk semeja dan setiap gambar dimuat naik sering ditafsirkan sebagai isyarat kuasa, jaringan dan pengaruh.

Tetapi satu perkara pasti.  Dalam politik Malaysia, kadang-kadang cerita sebenar tidak tersurat di pentas ucapan – ia tersirat di meja makan.

Tamat.

Oleh; Ramlee Wahab, Sri Gading, Batu Pahat, Johor

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share