“PAS Wajar Tolak BERSATU” — Mantan KB Gesa Kerjasama Politik Baharu Demi Melayu-Islam

KUALA LUMPUR | 25 Mei 26 — Mantan Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berpandangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu mempertimbangkan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan mencari gabungan politik baharu yang lebih stabil serta ikhlas dalam agenda penyatuan Melayu-Islam.

Menurut beliau, BERSATU dilihat semakin tamak kuasa dan lebih mengutamakan kepentingan politik sendiri berbanding agenda perjuangan bersama demi rakyat serta negara.

“BERSATU juga dilihat gagal menghormati semangat kerjasama dalam Perikatan Nasional dan tidak menunjukkan komitmen sebenar terhadap agenda penyatuan ummah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa terdapat beberapa pemimpin BERSATU yang masih mempunyai hubungan rapat dengan pihak Pakatan Harapan dan dipercayai sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Perikatan Nasional sekiranya tuntutan politik mereka tidak dipenuhi.

Katanya, tindakan BERSATU memecat beberapa Ahli Parlimen dan ADUN sendiri turut memberi kesan negatif terhadap imej serta kestabilan PN di mata rakyat.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kekuatan dan kesatuan gabungan tersebut,” katanya.

Muqharabbin berkata, sikap tidak konsisten dalam pendirian politik selain tindakan “bermain dua kolam” telah menghakis keyakinan rakyat terhadap keikhlasan perjuangan BERSATU.

Beliau menegaskan PAS tidak boleh terus berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kesetiaan, disiplin dan keikhlasan dalam membina kekuatan politik bersama.

“Keutamaan PAS adalah memperkukuhkan perpaduan Melayu-Islam dan menjaga kestabilan politik negara, bukannya melayan percaturan politik individu tertentu yang hanya memikirkan survival politik sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan PAS wajar mempertimbangkan semula kerjasama dengan UMNO serta membuka ruang kepada tokoh-tokoh tertentu termasuk Hamzah Zainudin yang disifatkan benar-benar ikhlas memperjuangkan agenda penyatuan ummah.

Menurutnya, rakyat kini mahukan kepimpinan yang stabil, jujur dan berprinsip, bukannya politik lompat parti, ugutan serta permainan kuasa yang berpanjangan.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang memaklumkan bahawa PAS akan mengkaji semula hubungan dengan BERSATU susulan beberapa tindakan BERSATU sebelum ini yang didakwa melanggar setiakawan dalam PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share