“BERSATU Makan Diri Sendiri”, PAS Dijangka Bertindak Lebih Drastik — Zainol Fadzi

IPOH | 25 Mei 26 — ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mendakwa usaha pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertahankan diri dalam kemelut bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini dilihat semakin terdesak dan akhirnya “memakan diri sendiri”.

Menurut beliau, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini gagal menjernihkan hubungan antara kedua-dua parti dalam blok pembangkang, malah hanya menambahkan persepsi negatif rakyat terhadap BERSATU.

“Penjelasan mereka tidak lagi mampu memperbaiki hubungan dengan PAS. Isu ini sudah terlalu lama dan rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pimpinan BERSATU yang sebelum ini dilihat menyerang PAS, namun kemudian tampil memberikan pelbagai penjelasan selepas menerima reaksi balas daripada kepimpinan PAS, menunjukkan mereka berada dalam keadaan panik untuk mengawal persepsi awam.

“Bila Tuan Guru mula memberi respons, mereka mula kelam-kabut mencari jawapan untuk mempengaruhi netizen bahawa realiti sebenar tidak seperti yang diperkatakan umum,” katanya.

Zainol Fadzi turut mendakwa kenyataan rasmi yang disusun lengkap dengan gambar dan naratif tertentu menggambarkan BERSATU terlalu terdesak mahu membuktikan mereka tidak bersalah dalam konflik berkenaan.

“PAS sebelum ini banyak berdiam diri walaupun hubungan tegang. Tetapi bila keluar kenyataan rasmi yang begitu tersusun, ia nampak seolah-olah BERSATU cuba menutup kesilapan sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa kesabaran PAS mungkin sudah sampai ke penghujung dan tidak menolak kemungkinan parti itu akan mengambil tindakan lebih drastik selepas ini.

“Saya tidak hairan jika PAS selepas ini mengambil tindakan lebih drastik kerana pada saya PAS sudah terlalu lama bersabar,” katanya lagi.

Mengulas kedudukannya sebagai wakil rakyat bebas pembangkang di Perak, Zainol Fadzi menegaskan status pembangkang tidak ditentukan oleh keanggotaan dalam Bersatu atau PAS semata-mata, sebaliknya berdasarkan kedudukan seseorang wakil rakyat dalam Dewan.

“Selagi tidak menyokong kerajaan, mereka tetap pembangkang. Dalam Dewan hanya ada dua blok — kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwanya cuba menyingkirkan beliau daripada beberapa jawatan berkaitan pembangkang negeri.

“Gerakan pertama yang dia mahu lakukan ialah menyingkirkan saya daripada jawatan Ketua UIP dan pengurusan PIC. Itu memang saya sudah jangka,” katanya.

Menurutnya, naratif kononnya terdapat pihak tertentu didesak keluar daripada Perikatan Nasional sebenarnya hanyalah alasan untuk memudahkan percaturan politik tertentu yang sudah lama dirancang.

“Realitinya, apa yang berlaku hari ini sebenarnya sudah lama diketahui ramai,” katanya.

Semalam, Biro Politik BERSATU mngeluarkan kenyataan panjang bagi menjawab dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa BERSATU membuat perlbagai tindakan yang tidak menghormati setiakawan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share