
KUALA LUMPUR | 25 Mei 26 — Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membatalkan syarat baharu pemilikan 50 peratus ekuiti bumiputera bagi pelupusan hartanah bernilai lebih RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Gesaan itu dibuat susulan pelaksanaan Garis Panduan Pemerolehan Hartanah (PAG) di bawah Kementerian Ekonomi yang mula berkuat kuasa pada 18 November 2025.
Di bawah garis panduan baharu itu, syarikat yang mahu memperoleh hartanah bernilai lebih RM20 juta daripada GLC dan GLIC diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus ekuiti bumiputera, meningkat daripada syarat sebelumnya iaitu 30 peratus.
Laporan media sebelum ini menyebut dasar tersebut dikuatkuasakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan melibatkan institusi besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam kenyataan di Facebook, Guan Eng berkata perubahan itu bertentangan dengan pendekatan asal Pakatan Harapan (PH) yang mengekalkan status quo kuota etnik dalam dasar kerajaan.
“Atas sebab ini, rangka kerja baharu Garis Panduan Pemerolehan Hartanah (PAG) Kementerian Ekonomi yang mula berkuat kuasa pada 18 November 2025 amat mengecewakan dan bertentangan dengan pendekatan PH untuk mengekalkan status quo,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan syarat ekuiti bumiputera itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong PH sendiri.
“Peningkatan pemilikan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus oleh kerajaan semasa bukan sahaja menyebabkan rasa kecewa dalam kalangan penyokong asas PH, malah menimbulkan kebimbangan kerajaan ini mungkin melakukan perkara sama terhadap instrumen dasar dan aturan pentadbiran lain,” katanya.
Beliau turut mendesak Anwar supaya mengembalikan semula syarat asal 30 peratus.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membatalkan peningkatan pemilikan ekuiti bumiputera kepada 50 peratus dan kembali kepada kadar 30 peratus sebelum ini bagi pelupusan hartanah bernilai lebih RM20 juta oleh GLC dan GLIC,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Guan Eng berkata masyarakat Cina tidak membantah pengambilalihan pegangan besar dalam Eco World Development Group Bhd oleh usahawan bumiputera, Syed Mokhtar Albukhary kerana ia dilihat sebagai keputusan komersial berasaskan pasaran.
“Tiada masyarakat Cina di Malaysia yang membantah pengambilalihan bernilai RM2 bilion pegangan besar dalam Eco World Development Group Bhd dan syarikat saudaranya oleh usahawan bumiputera terkaya Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.