
KUALA LUMPUR | 31 Mac 26 — Cadangan mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang mendapat reaksi positif dikalangan pemerhati politik, dengan hujah bahawa beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang serta rekod prestasi yang terbukti.
Pengulas politik, Shahbudin Husin dalam hantaran facebook berpandangan, langkah paling wajar ketika ini ialah mengekalkan status quo demi memastikan kestabilan dalaman Perikatan Nasional (PN) tidak terganggu.
Menurut beliau, faktor utama yang tidak boleh diketepikan ialah sokongan majoriti wakil rakyat pembangkang sendiri terhadap Hamzah, termasuk daripada blok terbesar iaitu PAS.
“Dalam amalan demokrasi, pandangan majoriti lebih wajar diambil kira,” katanya, sambil menyarankan agar pandangan minoriti yang menolak kepimpinan Hamzah tidak diberi keutamaan.
Kenyataan itu selari dengan laporan Free Malaysia Today (FMT) yang memetik Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sebagai berkata bahawa majoriti Ahli Parlimen pembangkang mahu Hamzah terus kekal memegang jawatan tersebut.
“Sekiranya diambil pungutan suara, pasti majoriti mahu Hamzah dikekalkan kerana beliau telah tunjuk prestasi cemerlang,” katanya.
Menurut Ikmal, sokongan itu bukan sahaja datang daripada Ahli Parlimen Bersatu, malah turut melibatkan sebahagian besar wakil PAS yang membentuk kumpulan terbesar dalam blok pembangkang.
Dalam pada itu, Shahbudin turut melihat keputusan mengekalkan Hamzah akan memberi kelebihan dari sudut persepsi politik kepada PN.
Katanya, dengan PAS tidak mengambil jawatan Ketua Pembangkang walaupun memiliki kerusi terbanyak, ia akan memperlihatkan parti itu sebagai lebih inklusif dan tidak tamak kuasa.
Beliau juga berpandangan bahawa gandingan antara PAS dan kepimpinan Hamzah mampu memperkukuh kedudukan pembangkang serta meningkatkan peluang menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Isu pelantikan Ketua Pembangkang timbul susulan mesyuarat PN pada 14 Mac lalu yang dilaporkan mempertimbangkan perubahan kepimpinan, termasuk cadangan agar jawatan tersebut diserahkan kepada pemimpin PAS.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan keputusan muktamad masih belum dimeterai, dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa pengumuman hanya akan dibuat sebelum sidang Parlimen akan datang.
Dengan sokongan majoriti yang semakin jelas, cadangan untuk mengekalkan Hamzah kini dilihat bukan sahaja sebagai pilihan politik, tetapi juga strategi bagi memastikan kestabilan dan kesepaduan blok pembangkang terus terpelihara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.