PN Tawar TPM Kepada BN, Tapi Mereka Pilih PH, Kata Pegawai Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 20 Jul 25 – Perikatan Nasional (PN) menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Barisan Nasional (BN) sewaktu rundingan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun gabungan itu memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu didedahkan Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui surat tawaran PN kepada BN.

Pendedahan itu dibuatnya bagi menafikan dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya PN memandang rendah BN dan tidak menawarkan sebarang jawatan.

“Saya menonton satu video podcast Rafizi yang mendakwa PN tidak mengemukakan apa-apa tawaran kepada BN dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas PRU15.

“Malah beliau mendakwa Muhyiddin memandang rendah kepada Umno. Beliau kata ada kaki dalam rundingan PNBN di Hotel St Regis pada 23 Nov 2022.

“Saya tak tahulah betul atau tidak dia ada ‘kaki’. Rafizi, anda berkata bohong,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Selain jawatan TPM, surat itu turut menyatakan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu  bersedia memberikan jawatan Kabinet serta beberapa jawatan kerajaan lain mengikut keperluan.

Marzuki berkata, beliau turut serta dalam rundingan itu sejak dari awal dan pertemuan katanya berlangsung dengan baik.

“Tidak pernah sekali pun Muhyiddin memperkecilkan Umno. Lagipun yang datang semuanya kawan-kawan beliau dalam Umno dan BN. Bercakap pun seperti kawan-kawanlah.

“Kedua, dalam rundingan mestilah ada tawaran. Rombongan BN datang dengan tawaran Ahli-ahli Parlimen BN memberikan sokongan secara ‘en-bloc’ kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai balasan, PN menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada BN, jawatan Kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi dan beberapa perkara lain,” katanya.

Delegasi BN yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kemudian meminta supaya tawaran-tawaran tersebut dibuat secara bertulis untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada sebelah malamnya.

“Selepas rundingan tamat, saya duduk bersama-sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada masa itu dan beberapa orang lain untuk menyediakan sepucuk surat yang mengandungi tawaran PN kepada BN.

“Surat tersebut yang dialamatkan kepada timbalan pengerusi BN diserah tangan pada hari yang sama. Pada ketika itu saya fikir tidak ada sebab untuk Umno menolak tawaran dengan terma munasabah yang telah dibincangkan serta dipersetujui secara dasarnya dalam rundingan. Cuma ia perlu dibawa ke MKT Umno untuk pengesahan,” katanya.

Namun begitu, beliau terkejut pada sebelah malamnya apabila Setiausaha Agung Umno yang menyatakan MKT telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan PH.

“Saya terdiam. Namun apa boleh buat. Hari pun sudah lewat malam, keputusan telah dibuat, badan sudah letih, saya pun tidur sajalah sambil mengharapkan hari esok lebih baik daripada semalam.

“Saya bukanlah orang penting tetapi telah ditakdirkan saya terlibat dalam banyak rundingan politik. Saya tidak gemar mendedahkan butiran rundingan tetapi sekiranya ia telah menjadi sumber pembohongan dan bahan fitnah adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran.

“Rafizi, orang boleh dibohongi tetapi mereka tidak berurusan dengan pembohongan. Jadi, apabila anda bercakap bohong, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bercakap benar,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share