Sokongan Hamzah Kepada Dr Sam Tanda Pengukuhan PN

KUALA LUMPUR | 6 Apr 26 — Sokongan terbuka Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Dr Samsuri Mokhtar mula mencetuskan tafsiran lebih mendalam dalam kalangan pemerhati politik, apabila ia dilihat bukan sekadar kenyataan biasa, tetapi membawa mesej tersirat mengenai corak kuasa dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan, Norsahar Ahmad, mantan Ketua Bahagian BERSATU Sepanggar, menyifatkan langkah Hamzah sebagai mencerminkan “kesetiaan yang berpaksikan struktur organisasi dan disiplin gabungan,” sekali gus membezakan beliau daripada budaya politik yang sering berubah arah mengikut kepentingan semasa.

Berbeza dengan pendekatan lazim, Hamzah dilihat menampilkan kesetiaan berasaskan organisasi, bukan individu semata-mata. Namun, di sebalik naratif itu, sokongan terbuka tersebut turut dibaca sebagai isyarat kuasa dalaman.

Pemerhati turut berpendapat tindakan itu boleh ditafsir sebagai bentuk “endorsement awal” terhadap Dr Samsuri, sekali gus memberi bayangan bahawa wujud usaha menyusun hierarki kepimpinan masa depan dalam PN.

Pada masa sama, kenyataan Norsahar turut menekankan bahawa pendekatan Hamzah membawa mesej lebih besar—penolakan terhadap gaya kepimpinan individualistik. Beliau menggambarkan Hamzah sebagai pemimpin yang mengutamakan disiplin, kesepakatan dan kekuatan organisasi berbanding politik berasaskan personaliti.

Perkembangan ini sekali gus membuka persoalan sama ada langkah tersebut benar-benar memperkukuh kesatuan dalaman PN, atau sebaliknya menjadi petunjuk awal kepada pembentukan blok pengaruh baharu dalam gabungan itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share