Kritik Kerajaan Kini Boleh Ditahan? Ahli Parlimen Persoal

KUALA LUMPUR | 15 Apr 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan sama ada kritikan terhadap kerajaan kini boleh membawa kepada penahanan, susulan tindakan terhadap beberapa individu termasuk pengguna media sosial dikenali sebagai “Jorjet Myla”.

Beliau berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap ruang kebebasan bersuara dalam negara.

“Baru seminggu peristiwa penahanan tiga anak muda kerana memprotes, kini media melaporkan pula seorang individu yang digelar ‘Jorjet Myla’ direman dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 susulan kenyataan kritikal terhadap kepimpinan kerajaan di platform media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penahanan tersebut menimbulkan persoalan serius sama ada Malaysia masih menjamin hak rakyat untuk bersuara secara terbuka.

“Penahanan ini menimbulkan persoalan serius terhadap ruang kebebasan bersuara dalam negara hari ini. Malaysia bukan negara komunis sehingga rakyat tidak boleh mengkritik kerajaan,” katanya.

Wan Saiful menegaskan bahawa terdapat perbezaan jelas antara kritikan politik dan fitnah, dan tindakan undang-undang tidak seharusnya dikenakan terhadap pandangan yang sah.

“Ada perbezaan besar antara kritikan atas sebab perbezaan pandangan politik dengan kata-kata yang memfitnah. Kritikan yang sah tidak boleh dianggap sebagai jenayah, sebaliknya perlu ditangani secara adil dan demokratik,” katanya.

Beliau turut mengkritik penggunaan Akta Hasutan, dengan menyifatkan tindakan tersebut bercanggah dengan pendirian pemimpin kerajaan sebelum ini.

“Ramai pemimpin kerajaan hari ini pernah lantang bercakap mengenai kezaliman Akta Hasutan. Hari ini mereka gembira mempergunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan itu berisiko mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan rakyat serta tidak selari dengan semangat reformasi institusi yang sering dilaungkan.

“Tindakan yang diambil sengaja mahu mewujudkan suasana takut dalam kalangan rakyat. Perkara ini tidak selari dengan semangat pembaharuan institusi serta janji reformasi yang sering dilaungkan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan segera berhubung penahanan berkenaan serta memastikan hak individu yang disiasat dihormati sepenuhnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share