“Kami Tak Takut Dengan Tindakan Parti” Kata Saifuddin

KUALA LUMPUR, 2 NOV 25 — Ahli Parlimen dan kepimpinan akar umbi Bersatu yang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden tidak takut dengan sebarang tindakan dari parti, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Perkara itu katanya dibuktikan dalam pendedahan semalam yang menunjukkan 16 ahli Parlimen Bersatu menegur Muhyiddin atas tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga ketua Bersatu Bangi Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Ahli parlimen suarakan kebimbangan tindakan lembaga disiplin terhadap Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Saiful tidak bijak, ” kata Saifuddin ketika berucap di siri Jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak), di Ampang pagi tadi.

Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini digantung keahlian selama sepenggal manakala Wan Saiful dipecat daripada Bersatu.

Pendedahan itu membuktikan lebih separuh daripada 25 ahli parlimen Bersatu menyokong usaha kumpulan penentang Muhyiddin itu, kata Saifuddin.

“Sekurang-kurangnya lebih 19 daripada 25 ahli Parlimen mempunyai perasaan yang sama macam kita.

“Bermakna apa, kita tak takut pun. Saya tak minta jadi berani. Tak payah. Tetapi mita tak perlu takut kerana kita berada di pihak yang benar, kita nak tegakkan yang makruf dan memerangi kemungkaran,” jelas Saifuddin lagi.

Jelas Saifuddin beliau adalah individu yang bertanggungjawab menghantar surat itu kepada Muhyiddin di Parlimen.

“Tindakan panggil Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke lembaga disiplin memang tak masuk akal. Itu kandungan surat, yang tandatangan 16 ahli Parlimen Bersatu.

“Semalam ada orang bocorkan surat itu kepada media, nak tunjukkan apa tak tahu tapi tertunjuk jumlah ahli Parlimen yang tandatangan. Itu silap dialah,” katanya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share