
KUALA LUMPUR | 20 Apr 26 — Isu kebebasan institusi penguatkuasaan kembali menjadi perhatian apabila Aktivis RESET politik, Shafiq Halim menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti kekal neutral dan tidak cenderung kepada mana-mana parti politik.
Menurut beliau, prinsip tersebut penting bagi memastikan integriti serta kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara terus terpelihara.
“PDRM tidak boleh cenderung kepada mana-mana parti,” katanya, mengulas keperluan pemisahan jelas antara penguatkuasaan undang-undang dan kepentingan politik. Katanya dalam sidang media ‘Tutup Mulut = Bunuh Demokrasi’ Solidariti Influencer dan Pencipta Kandungan Malaysia di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, baru-baru ini.
Katanya, kebebasan bersuara tertakluk kepada undang-undang tertentu termasuk melibatkan aspek keselamatan negara, agama dan institusi raja.
“Namun, apa yang membimbangkan adalah apabila undang-undang ini dilihat digunakan terhadap pihak yang mengkritik dasar kerajaan.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem demokrasi negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada satu kes melibatkan seorang individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kandungan media sosial yang tular.
“Tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan profesional tanpa sebarang persepsi berat sebelah.
Shafiq turut menekankan bahawa bukan sahaja tindakan perlu adil, tetapi ia juga mesti dilihat adil oleh masyarakat.
Terdahulu, seorang wanita ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.