
KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan Kementerian Pembangunan Bumiputera, seperti yang dibangkitkan oleh Tan Sri Rais Yatim dalam Konvensyen 153 hari ini.
Menurut beliau, cadangan tersebut perlu diberi perhatian serius kerana isu pembangunan Bumiputera tidak boleh dilihat secara sempit sebagai soal bantuan atau subsidi semata-mata, sebaliknya melibatkan pembinaan keupayaan jangka panjang merangkumi pendidikan, keusahawanan, pemilikan aset, inovasi serta daya saing dalam ekonomi terbuka.
“Isu pembangunan Bumiputera bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi berkait rapat dengan usaha membina keupayaan sebenar untuk bersaing dalam ekonomi moden,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Saiful berkata, ketika ini fungsi berkaitan pembangunan Bumiputera bertaburan di pelbagai kementerian dan agensi, menyebabkan berlakunya pertindihan dasar, pelaksanaan yang tidak selaras serta kesukaran menilai keberkesanan secara menyeluruh.
Justeru, jelasnya, sebuah kementerian khusus boleh berperanan sebagai pusat penyelarasan dasar, pemantauan prestasi serta pemacu reformasi pembangunan Bumiputera yang lebih strategik dan berfokus.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penubuhan kementerian tersebut mesti berpaksikan prinsip pemerkasaan, bukan kebergantungan, dengan pendekatan yang beralih daripada bantuan jangka pendek kepada agenda membina keupayaan sebenar.
“Fokus perlu diberikan kepada pembangunan kemahiran, akses pasaran, tadbir urus korporat serta peningkatan daya saing global dalam kalangan usahawan dan profesional Bumiputera,” ujarnya.
Tambah beliau, penubuhan kementerian berkenaan juga perlu disertakan dengan petunjuk prestasi yang jelas, tahap ketelusan yang tinggi serta keberanian melakukan pembaharuan dasar bagi memastikan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar diterjemahkan dalam konteks ekonomi moden.
Wan Saiful turut berharap cadangan tersebut dapat dibincangkan secara terbuka, inklusif dan rasional agar agenda pembangunan Bumiputera kekal relevan, berkesan dan mampan demi kepentingan generasi akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.