Mantan KB Tempelak Azmin, Cabar Bersihkan Nama Secara Terbuka

IPOH | 27 Apr 26 — Mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tampil menjawab secara terbuka segala isu yang pernah dikaitkan dengannya, khususnya yang menyentuh soal integriti dan moral.

Menurut beliau, kenyataan Azmin yang mendakwa kononnya “ahli yang dipecat telah dibersihkan” hanyalah naratif politik yang cetek dan tidak menjawab persoalan sebenar yang masih berlegar dalam ruang awam.

“Jika benar mahu bercakap soal pembersihan, maka bersihkan dahulu nama sendiri. Rakyat masih menunggu jawapan tuntas terhadap pelbagai isu yang pernah dikaitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli menegaskan bahawa budaya menafikan isu sambil menyerang pihak lain bukan sahaja tidak menyelesaikan persoalan, malah terus menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti.

Beliau turut mencabar Azmin menggunakan saluran undang-undang sekiranya yakin tidak bersalah, daripada terus bermain dengan persepsi politik.

“Jawab secara terbuka atau ambil tindakan undang-undang. Itu lebih meyakinkan daripada sekadar retorik politik,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa rakyat kini semakin matang dan tidak lagi mudah menerima naratif “pemutihan imej” tanpa penjelasan yang jelas dan telus.

Menurutnya, kepimpinan politik hari ini tidak boleh lagi bergantung kepada slogan semata-mata, sebaliknya perlu berani berdepan dengan persoalan integriti secara terbuka.

“Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi soal kepercayaan. Dan kepercayaan itu hanya datang apabila pemimpin berani menjawab, bukan mengelak,” katanya.

Fadhli turut menegaskan bahawa usaha mempertahankan imej individu tertentu tanpa menjawab persoalan asas hanya akan membebankan parti dalam jangka panjang.

“Rakyat melihat. Dan mereka menilai,” katanya lagi. 

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerang secara sini sinis terhadap bekas pemimpin parti itu yang dipecat.

Berucap di pentas yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, parti kini telah ‘bersih’ daripada golongan penentang.

“Yang pekak sudah tidak ada dalam parti Bersatu,” katanya ketika ucapan pembukaan Konvensyen Bersatu Selangor di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, semalam. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share