Pakar Sejarah Sosial, Persoal Penamaan Jalan Di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR | 1 Mei 26 – Usaha kerajaan negeri menamakan semula enam jalan di Pulau Pinang bagi menghargai tokoh-tokoh tertentu kembali mencetuskan perdebatan apabila ia dipersoalkan sebagai tidak mencerminkan keseluruhan sejarah negeri, khususnya peranan awal masyarakat Melayu Islam sebelum era kolonial moden.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTEC-IIUM), Prof. Dato Dr Ahmad Murad Merican tampil dengan pandangan kritikal, menyifatkan pendekatan tersebut masih belum benar-benar mencerminkan keterangkuman sejarah Pulau Pinang secara menyeluruh.

Menurut beliau, wujud kecenderungan dalam naratif sejarah moden negeri itu yang didakwa meminggirkan tokoh-tokoh Melayu Islam awal yang telah wujud sebelum tahun 1900, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap asas pemilihan nama dalam ruang awam.

“Ramai lagi tokoh Melayu Islam yang berjasa, tetapi tidak diangkat dalam naratif rasmi. Sejarah Pulau Pinang antara 1700 hingga 1800 seolah-olah tidak diberi tempat sewajarnya dalam ingatan institusi,” katanya dalam ulasan beliau di facebook.

Beliau yang anak jati Pulau Pinang turut mendakwa terdapat nama-nama tokoh dan tempat bersejarah yang tidak disempurnakan dalam rekod rasmi penamaan, walaupun wujud dalam catatan sejarah dan dokumen terdahulu.

Prof Murad berpendapat, isu utama bukan sekadar bilangan tokoh yang diangkat, tetapi kerangka sejarah yang digunakan dalam menentukan siapa yang diiktiraf dalam ruang simbolik negeri.

“Ini bukan sekadar soal inklusif. Ia soal bagaimana sejarah moden Pulau Pinang dibina. Kalau naratifnya hanya memilih segmen tertentu, maka timbul persoalan tentang keseimbangan representasi sejarah,” ujarnya.

Baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang menamakan semula beberapa jalan di negeri tersebut, antaranya termasuk Persiaran Chin Fung Kee, Jalan Sheikh Ibrahim, Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Jalan SA Abdullah Bukhari, Solok Dato’ Ismail Hashim dan Jalan M Kuppan, sebagai sebahagian usaha mengangkat sumbangan tokoh negeri dan nasional.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari menyifatkan langkah itu sebagai usaha pengiktirafan terhadap individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang dan negara.

Isu ini membuka semula perdebatan lebih luas mengenai politik memori dan pembinaan naratif sejarah negeri, khususnya dalam menyeimbangkan antara pengiktirafan tokoh moden dan usaha mengangkat warisan awal tempatan yang lebih lama. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share