
KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menegaskan segala perbuatan yang boleh menggugat keharmonian dan memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini mesti ditentang dengan tegas serta tanpa kompromi.
Baginda bertitah, usaha menyatupadukan rakyat akan terus berdepan cabaran sekiranya masih ada pihak yang gemar mensensasikan isu berkaitan kaum, agama, negeri dan wilayah semata-mata demi kepentingan sempit.
“…pada waktu kita sepatutnya lebih memberi fokus untuk mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis serta dibina oleh pemimpin terdahulu,” titah baginda.
Sultan Nazrin menegaskan, negara ini tidak boleh dijadikan medan pertelingkahan dan perebutan kuasa yang memecahbelahkan rakyat serta merosakkan makna kemerdekaan yang dikecapi.
“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta insan yang mabuk kuasa. Merdeka itu akan hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, meracuni fikiran rakyat,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 Sultan Perak, yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut mengingatkan keamanan dan perpaduan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang harus dipelihara dengan penuh tanggungjawab oleh generasi kini.
Baginda turut menyeru semua lapisan masyarakat agar terus mempertahankan semangat muhibah, menghormati perbezaan dan menolak segala bentuk provokasi yang boleh menghakis keharmonian nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.