
KUALA LUMPUR | 4 Mei 26 — Kenyataan UMNO mengenai pendirian untuk bertanding secara “solo” terus mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk tokoh politik dan pemerhati yang memberi tafsiran berbeza terhadap maksud sebenar pendekatan itu.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, berkata pendirian “hampir pasti” UMNO untuk bertanding solo kini semakin jelas, khususnya apabila parti itu menegaskan tidak akan bertindih dengan parti dalam gabungan seperti DAP, PKR dan Amanah.
Menurut beliau, perkembangan politik di Negeri Sembilan ketika ini dilihat sebagai manifestasi kepada pendekatan tersebut, merujuk kepada sokongan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.
“Jelaslah kerjasama itu kekal, dan selepas PRU16 mereka akan terus menyokong pihak yang sama memimpin negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan UMNO itu adalah hak parti berkenaan dan perlu dihormati, selain menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.
Sementara itu, tokoh wartawan veteran, A. Kadir Jasin, mengambil pendekatan lebih sinis terhadap naratif “go solo” tersebut.
Dalam hantaran ringkas di media sosial, beliau menyifatkan slogan itu tidak selari dengan realiti politik semasa yang menurutnya masih melibatkan hubungan tidak rasmi di belakang tabir.
“Di depan kata ‘go solo’, di belakang berkenyit-kenyit mata dan berhello-hello,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa konsep “bertanding solo” yang dibawa parti itu merujuk kepada pendekatan tidak bertindih kerusi dengan rakan dalam kerajaan perpaduan, sambil mengekalkan kerjasama strategik sedia ada demi kestabilan politik negara.
Beliau turut menekankan bahawa sebarang keputusan muktamad mengenai bentuk kerjasama menjelang PRU akan diputuskan oleh kepimpinan parti berdasarkan kepentingan semasa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.